TERKINI :

Friday, July 25, 2014

Judi: Usah hanya nampak kuman di seberang lautan

Pendapat Oleh RAYUSA

UMNO Selangor mempersoal sikap berdiam diri ulama PAS berkaitan cadangan pembinaan pusat judi lumba kuda di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang majoriti penduduknya Melayu dan Islam. Menurut Timbalan pengerusinya, Dato’ Abdul Shukur Idrus, Umno Selangor tidak bersetuju dengan permohonan untuk memindahkan pusat judi tersebut dari Sungai Besi ke kawasan luar bandar itu.


Kata Shukur, pihaknya terkejut kerana ulama daripada PAS, salah sebuah parti komponen dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak bersuara. Bagi beliau itu menunjukkan ulama PAS seolah-olah tidak wujud.

Dalam nada menyindir, Shukur mengungkit PAS pernah bercadang menutup kilang arak sebagai bukti memperjuang Islam, tetapi kini seperti sebaliknya.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas soal permohonan cadangan membina pusat judi di kawasan tersebut yang masih dalam pertimbangan kerajaan negeri Selangor.

Adun Kuang itu turut mengulas kebimbangan PAS Selangor yang bimbang dengan cadangan tersebut kerana menganggap ia menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran di Selangor, dan boleh memecahkan perpaduan Pakatan.


Jika pusat judi lumba kuda terbesar di Asia itu diluluskan oleh kerajaan Selangor, hayat pemerintahan Pakatan di negeri itu dijangka berakhir.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad, PAS sebagai parti Islam sama sekali tidak akan bersetuju dengan pembinaan pusat perjudian tersebut. Jelas Adun Cempaka itu, pihaknya telah menerima maklum balas daripada ahli-ahli dan masyarakat Islam yang menentang pembinaan pusat tersbut. Wakil-wakil PAS dalam kerajaan pula tetap dengan pendirian menolak projek yang boleh memudaratkan itu.

Bagaimanapun, Iskandar yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan kerajaan negeri mengambil kira pandangan rakyat. Beliau menggesa masyarakat Islam agar bersabar kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan hasrat rakyat.

Shukur sangsi dengan kemampuan PAS untuk membantah, sementara parti lain dalam Pakatan masih belum menyatakan pendirian rasmi mereka. Katanya, mustahil PAS akan bersetuju kerana ia parti Islam. Beliau tidak percaya PAS mampu bertindak sendiri jika DAP dan KeADILan berpendapat sebaliknya.

Shukur bimbang PAS tidak mampu menguasai DAP dan KeADILan. Justeru, beliau mendakwa Umno akan membuktikan bahawa ia sahaja yang mampu memperjuang orang Islam kalau PAS tidak mampu.

Difahamkan ada sebuah syarikat membuat permohonan sejak 2011 untuk membina sebuah pusat judi. Kemudian syarikat itu memohon sekali lagi untuk mendapatkan kelulusan dengan menyertakan kaji selidik daripada sebuah universiti tempatan yang menyatakan 50 peratus daripada orang Melayu bersetuju.

Namun, ahli mesyuarat Exco, khususnya daripada PAS, mencurigai kesahihan kaji selidik itu kerana pada 2011, Merdeka Centre telah membuat kaji selidik tentang penerimaan masyarakat Melayu.

Perkara tersebut disahkan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail. Katanya, MDHS ada menerima permohonan daripada sebuah syarikat sebagai sebahagian daripada cadangan pembangunan sebuah pusat rekreasi yang berasaskan sukan lumba kuda.

Bagaimanapun katanya, jika disebut sukan lumba kuda, masyarakat Islam terus terfikirkan judi. Permohonan tersebut telah lama dikemuka, tetapi kerajaan negeri belum bercadang untuk meluluskannya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS kawasan Hulu Selangor, Muhamad Idris berkata, sebagai langkah membantah, beliau serta ahli jawatankuasa sekretariat mengumpulkan tandatangan orang Melayu di daerah berkenaan sepanjang Ramadan, kemudian menyerahkannya kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor.

Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak bersetuju dengan pendirian PAS yang membantah cadangan pembinaan pusat judi tersebut, sekali gus membuktikan parti itu mampu membezakan di antara politik dengan keperluan rakyat.

Bagi Sulaiman, pendirian PAS itu tepat. Katanya. pembangkang Dun Selangor akan membangkitkan isu cadangan pembinaan pusat judi itu dalam sidang akan datang.

Menurut Sulaiman, BN Selangor juga akan memungut tandatangan bantahan penduduk di Hulu Selangor dan menghantar memorandum terhadap cadangan itu jika diluluskan. Beliau kecewa jika Pakatan meluluskan cadangan yang pernah ditolak oleh BN sewaktu mereka memerintah sebelum ini.
Kata Sulaiman, tentu Pakatan tidak menyokong perjudian kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia wajar menentang dan permohonan itu memang wajib ditolak.

Saling menegur dan mengingati memang baik serta amat digalakkan. Namun, Shukur seperti melupakan sebuah pusat perjudian terbesar di atas bukit di Pahang yang sejak merdeka ditadbir oleh kerajaan Umno-BN.

Mengapa Shukur tidak menegur dan mengusulkan bantahan terhadap kasino tersebut walaupun telah dibina lama sebelum beliau menjadi wakil rakyat? Walaupun telah lama wujud, kewujudan pusat perjudian itu masih boleh dibantah dan digesa agar ditutup.

Bagaimanapun, tiada pemimpin Umno yang berdegar-degar mengaku memperjuang dan mempertahan Islam membantah pusat perjudian tersebut seolah-olah ia halal dan toyyiban.

Jika Shukur mempertikai ulama PAS, kelompok tersebut boleh mempersoal beliau semula. Agak pelik dan melampau kebimbangan PAS Selangor turut dipertikai. Ternyata Umno di negeri mana pun sentiasa tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan Pakatan tanpa menyedari kebobrokan sendiri dan taksub pula mempertahan seperti assabiah.

Kalau berdiam diri dikatakan seperti tidak wujud. Apabila bersuara, dipertikai pula. Pemimpin Umno kecil dan besar jangan bersikap ‘kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak kelihatan’. Usahlah kerana pusat judi itu bakal wujud di negeri Selangor yang bukan di bawah pemerintahan Umno-BN, siang malam ia dibantah!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...