TERKINI :

Tuesday, July 1, 2014

Hari ini Redzuan, esok kamu pula jika terus diam, kata PAS kepada MPN

Majlis Profesor Negara (MPN) dicabar mengambil sikap dan tindakan sewajarnya ekoran apa yang berlaku terhadap rakan mereka, Prof Datuk Dr Redzuan Othman dalam menjaga kebebasan akademik.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini menjadi ahli politik, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, mereka akan menyesal jika tidak berbuat sesuatu hari ini.

"Hari ini hari Prof Redzuan, esok boleh jadi hari kamu pula," kata Dzulkefly mengulas tindakan yang dihadapi oleh penganalisis dan pengkaji politik Universiti Malaya yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) akibat tekanan politik dari Kementerian Pendidikan.

Hari ini, Redzuan menyerahkan tugas sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang beliau pegang selama ini walaupun dikatakan mendapat undi daripada kakitangan akademik di fakulti berkenaan untuk meneruskan jawatan itu.

Ini kerana, di bawah Redzuan, FSSS menjadi fakulti kedua terbaik selepas Fakulti Perubatan di Universiti Malaya dalam konteks pelajar lepasnya mendapat pekerjaan.

"Jika anda tidak berbuat sesuatu, tunggulah universiti akan menjadi mediocrity, universiti ala kadar saja.

"Pensyarahnya penakut dan akan melahirkan pelajar yang mandom," kata bekas pensyarah Toksikoloji di Fakulti Perubatan USM itu.

Menurut Dzukefly pada ketika itu jawatan di universiti termasuk profesor, profesor madya hanya akan menjadi anugerah kerana menyokong kerajaan dan ungkapan “profesor kangkung” ternyata benar.

"Jika di Universiti Malaya yang kadang-kadang termasuk dalam senarai 100 universiti terbaik berlaku perkara ini, apa pula berlaku di universiti lain," kata Dzulkefly yang kini pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Majlis Profesor Negara dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 April 2010 yang menggabungkan kepakaran 1,426 orang profesor dari seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ketika itu.

Majlis tersebut berperanan membantu kerajaan menyumbang input dalam pelbagai bidang khususnya memperkukuhkan asas penggubalan dasar negara dan juga menjayakan Model Ekonomi Baru. – 30 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hari-ini-redzuan-esok-kamu-pula-jika-terus-diam-kata-pas-kepada-mpn#sthash.I8bcXXKq.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...