cctv

JITRA - Syarikat swasta yang mahu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan mereka diminta memastikan CCTV itu berfungsi dan bukan hanya memasangnya sebagai langkah untuk menakutkan penjenayah daripada merompak premis perniagaan mereka.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ada sesetengah pemilik syarikat memasang CCTV yang tidak berfungsi dan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap premis perniagaan mereka, polis sukar untuk mendapatkan bukti dan identiti penjenayah.

Katanya, CCTV yang berfungsi akan memudahkan polis membuat siasatan sekiranya berlakunya jenayah seperti rompakan.
  
"Ini adalah (untuk) kebaikan kedua-dua pihak (polis dan pemilik syarikat). Polis dapat menyiasat dari pelbagai sudut mengenai kes jenayah yang berlaku dan identiti penjenayah.

Kadang-kadang kita lihat syarikat ada pasang CCTV dan bila kita nak lihat rekod tidak ada sebab CCTV tu hanya hiasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Program SafeCam Partnership antara Polis dengan pemilik syarikat di Ibu pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.
  
Ahmad berkata, kesedaran di kalangan ahli perniagaan terhadap penggunaan CCTV amat rendah kerana mereka enggan mengeluarkan belanja yang besar untuk sistem keselamatan itu.
  
Sementara itu, beliau berkata menerusi program SafeCam Partnership, pihaknya akan memberi fokus kepada premis perniagan yang mengambil bahagian dan turut menasihatkan mereka tentang kesannya sekiranya CCTV tidak dipasang di tempat yang strategik.
  
Beliau berkata, pemilihan tempat untuk dipasang CCTV penting bagi memudahkan pihaknya melihat dalam pelbagai sudut dan sekaligus memudahkan pihaknya untuk mendapatkan identiti dan maklumat penjenayah.
  
"Kadang-kadang dalam kedai ada dua CCTV sahaja diletakkan dalam kedai dan luar. Kalau berlaku kes rompakan kita hanya dapat lihat penjenayah itu bertopeng sahaja. Kalau ada pelbagai sudut kita mungkin akan lihat muka penjenayah sebelum mereka pakai topeng dan kenderaan yang dinaiki," katanya.
  
Katanya setakat ini hanya lima daerah telah mengadakan MoU program tersebut iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Kuala Muda dan Langkawi, dan program itu akan diteruskan ke daerah lain dalam tempoh terdekat.

Program SafeCam merupakan kerjasama pihak swasta dan polis dalam pemasangan CCTV di kawasan tertentu dalam usaha mengurangkan jenayah. - Bernama