Nur Diana menunjukkan sijil lahir dan slip peperiksaan STPM yang diperoleh.  
Nur Diana menunjukkan sijil lahir dan slip peperiksaan STPM yang diperoleh.

PENDANG - Seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) buntu kerana tidak dapat menyambung pelajaran akibat tiada MyKad walaupun sudah memohon beberapa kali.

Nur Diana Ruslan, 20, berkata, dia sedih melihat rakan-rakan seperjuangan mengisi borang permohonan kemasukan ke universiti namun dia tidak dapat berbuat demikian akibat tiada MyKad.

Menurutnya, dia kini hanya tinggal bersama keluarga angkat kerana ayahnya yang berasal dari Indonesia sudah pulang ke sana manakala ibunya yang berasal dari Thailand menghilangkan diri.

“Saya sedih bila melihat rakan-rakan sibuk mengisi borang permohonan ke universiti namun saya tidak dapat mengisi kerana tidak mempunyai MyKad.

“Saya mempunyai sijil kelahiran tapi entah bagaimana silapnya tidak dapat membuat MyKad walaupun keluarga angkat berusaha beberapa kali,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Diana berkata, ibu angkatnya pernah beberapa kali berusaha untuk membuat MyKad namun gagal dan kali terakhir mereka mencuba pada Mac lalu ketika diadakan program membuat MyKad dan sijil lahir di Felda Sungai Tiang.

“Semasa ke sana, pegawai bertugas mengatakan saya perlu ke Putrajaya, Bahagian Kementerian Dalam Negeri, namun kami tidak dapat ke sana kerana tidak tahu ke mana tujuan dan saluran yang perlu dibuat,” katanya.

Ibu angkat Nur Diana, Jamaliah Ramzan, 49, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk ke Putrajaya jika ada pihak tertentu memberi panduan atau penerangan terperinci mengenai cara-cara permohonan dengan betul.

“Walaupun memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk ke sana, namun demi anak-anak saya sanggup berkorban jika ada pihak yang sudi membantu memberi panduan dan penerangan untuk membuat permohonan.

“Hal ini kerana saya tidak tahu ke mana hala tuju dan saluran yang betul. Jika saya ke sana, saya perlu berjumpa dengan siapa dan bahagian mana. Apa keperluan yang diperlukan juga saya tidak tahu,” katanya.

Jamaliah yang hanya bekerja sebagai tukang jahit berkata, kesukaran Nur Diana bermula apabila tidak dapat memasuki tingkatan enam walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana masalahnya itu.

“Saya berusaha jumpa guru tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ibrahim (SMKSI) dan mereka mengatakan perlu berjumpa Pegawai Pelajaran Daerah namun terpaksa pula ke Pejabat Pelajaran Negeri.

“Akhirnya Nur Diana dapat memasuki tingkatan enam namun kini masalah lama berulang kembali,” katanya.