TERKINI :

Friday, June 27, 2014

Perkasa cuba alih maksud 'pancung'

Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) dan Fahmi Fadzil di pekarangan Ibu Pejabat Polis Selangor, selepas membuat laporan polis terhadap pemimpin Perkasa hari ini.
Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) dan Fahmi Fadzil di pekarangan Ibu Pejabat Polis Selangor,
selepas membuat laporan polis terhadap pemimpin Perkasa hari ini.

SHAH ALAM - Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kassim yang enggan menarik balik kenyataan 'pancung kepalanya' sebelum ini didakwa cuba mengalihkan maksud ancaman itu.

Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sesiapa yang mendengar kenyataan Ruslan itu akan membuat kesimpulan sama iaitu ancaman berbentuk fizikal dan bukannya bermaksud menjatuhkan karier ahli Parlimen Pas.

"Kalau dia ingin memberi maksud lain (jatuhkan karier), dia sepatutnya menggunakan perkataan lain.

"Kenyataan dia supaya pemimpin Pas itu tutup mulut dan pancung itu jelas satu ancaman dan ia tidak bertanggungjawab," katanya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Selangor, selepas membuat laporan polis terhadap pemimpin Perkasa itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ruslan berkata istilah 'pancung kepala' yang diucapkannya sebelum ini merujuk kepada pemimpin yang perlu dihukum oleh pengundi melalui cara demokratik.

Beliau membuat kenyataan itu semasa perhimpunan Perkasa di Shah Alam pada Isnin lalu yang merujuk kepada empat ahli Parlimen Pas Selangor selepas mereka menggesa kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dihadkan.

Empat Ahli Parlimen tersebut ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat).

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan pemimpin Perkasa itu perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana ia didakwa boleh menggugat keharmonian masyarakat.

"Satu tindakan tegas perlu diambil dan pihak polis wajib memberikan makluman dan menyiasat secara menyeluruh dan cepat.

"Kita nampak ada trend yang berlaku hari ini di mana kenyataan-kenyataan yang cuba untuk menaikkan emosi dan cuba memecahbelahkan rakyat semakin menjadi-jadi.

"Kerajaan Malaysia perlu mengambil iktibar serta tidak membenarkan suara-suara ektremis ini berleluasa," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...