TERKINI :

Monday, June 23, 2014

Kampung Chubadak: 'DBKL tindas golongan bawahan'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

KUALA LUMPUR - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan kediaman penduduk di Kampung Chubadak Tambahan disifatkan suatu bentuk penindasan terhadap golongan bawahan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, nasib penduduk berkenaan perlu diperjuangkan bagi memastikan golongan ini tidak terus ditindas.

"Apa yang terjadi di Kampung Chubadak adalah satu kezaliman, kita perlu mempertahankannya.

"Kita kena ingat juga bahawa isu ini merupakan isu kemanusian, jadi hentikan segera penindasan ini," katanya ketika berucap pada himpunan bantah perobohan Kampung Chubadak di hadapan bangunan DBKL, hari ini.

Perkara sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang menambah, penduduk Kampung Chubadak tidak sepatutnya kehilangan kediaman mereka hanya kerana pembangunan.

"Atas nama pembangunan mereka hilang hak? Selagi tidak ada perancangan yang menghormati orang miskin yang ditindas masalah ini tidak akan selesai," tegasnya.

Sebelum itu, pemimpin PR bersama-sama wakil Pengerusi Anak Warisan, Ahmad Zamri Asa'ad menyerahkan memorandum bantahan terhadap perobohan kediaman di Kampung Chubadak kepada DBKL kira-kira jam 10.30 pagi.

Memorandum diserahkan kepada wakil Datuk Bandar, Mohd Shukri Rohim dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar, Norjannah Appendi di Dataran DBKL.

Antara kandungan memorandum tersebut adalah menggesa agar Datuk Bandar Kuala Lumpur menghormati urusan mahkamah, dan menggesa agar isu Kampung Chubadak Tambahan ini diselesaikan secara rundingan dengan penduduk kampung.

Menteri sebelum ini meminta penduduk di Kampung Chubadak Tambahan mengosongkan kediaman mereka bagi membolehkan pembangunan rumah murah di kawasan itu dapat diteruskan.

Pada 9 Jun lalu, pihak DBKL telah merobohkan beberapa buah rumah penduduk kampung tersebut. Tindakan tersebut mendapat bantahan penduduk yang mengatakan bahawa pihak DBKL tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Dilaporkan sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1998 telah membuat keputusan bahawa kawasan itu merupakan milik peneroka bandar dan pihak yang berkenaan perlu membayar ganti rugi kepada peneroka itu sekiranya ingin memajukan kawasan tersebut.
    
Namun Mahkamah Rayuan, pada tahun 2000 dilapor telah membuat keputusan bahawa Kampung Chu Badak merupakan kawasan setinggan dan penduduk kampung hanya dibenarkan mendudukinya sebagai pemegang lesen dengan persetujuan pihak kerajaan negeri.
    
Status terkini kampung itu dilapor bergantung kepada pendengaran di Mahkamah Tinggi yang dijadual pada 27 Jun ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...