Ibrahim menunjukkan tempat letak tong gas yang hilang. 
Ibrahim menunjukkan tempat letak tong gas yang hilang.

SUNGAI TIANG - Penduduk Kampung Padang Durian, di sini, meminta pihak berkuasa membuat pemantauan terhadap kes kecurian di kawasan itu, berikutan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mahmud Talib, 62, berkata, kecurian itu melibatkan pelbagai jenis barangan yang boleh dijual termasuk tanaman penduduk.

Menurutnya, difahamkan kecurian itu dilakukan oleh remaja yang terlibat dengan pengaruh dadah.

“Pisang, durian, petai dan segala jenis buah-buahan yang boleh dijual semuanya dicuri sehingga penduduk sendiri tidak boleh merasa hasil tanaman mereka.

“Saya telah tebang pokok-pokok di dusun buah-buahan dan tanam pokok getah kerana geram dengan pencuri ini," katanya.
Menurutnya, petai adalah tanaman yang paling digemari oleh mereka dan kini petai berbuah sepanjang tahun serta sentiasa ada.

“Pemilik tanaman langsung tidak boleh merasa hasil dan kalau bernasib baik hanya boleh makan petai yang patah-patah jatuh ke tanah sahaja.

“Getah sekerap turut menjadi pilihan mereka dan penduduk sudah tidak larat untuk berkawal siang dan malam,” katanya.

Pembantu Imam, Ibrahim Md Deris, 66, berkata, bukan sahaja tanaman penduduk dicuri namun barangan masjid juga tidak ketinggalan menjadi bahan curian.

“Baru-baru ini tong gas masjid yang diletakkan dalam stor telah dicuri. Kini kita telah bina rak besi dua kunci untuk cegah daripada dicuri lagi.

“Setakat tabung masjid usah diceritakan lagi, terlalu kerap dicuri oleh mereka. Pihak masjid pula, tidak boleh mengunci pagar kerana akan menyukarkan orang ramai yang mahu singgah beribadat di sini,” katanya.

Sementara itu, penternak lembu, Ahmad Chik, berkata, dia kerugian hampir RM12,000 apabila lima ekor lembunya telah dicuri pada minggu lepas.

"Saya ikat lembu ini di kebun getah berhampiran. Dari tahun lalu hingga kini, lebih 19 ekor lembu saya telah dicuri.

“Mereka menggunakan ubat pelali sewaktu mencuri kerana terjumpa jarum yang digunakan untuk menyuntik lembu dan berharap kes kecurian ini dapat diselesaikan segera supaya penduduk sudah tidak terus menanggung kerugian lagi,” katanya."