TERKINI :

Thursday, June 19, 2014

Cermin gelap, apa rasional diambil tindakan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta Kementerian Pengangkutan meneliti kembali cadangan untuk dikenakan tindakan berhubung penggunaan cermin gelap pada kenderaan.

Katanya, kalau sebelum ini kerajaan menjelaskan tindakan penguatkuasaan penggunaan cermin gelap adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar jenayah.

"Kalau alasan kurangkan kadar jenayah, kita minta kerajaan nyatakan statistik berlakunya jenayah melibatkan kenderaan menggunakan cermin gelap.

"Kita ingin tahu peratusan jenayah yang berlaku di dalam negara ini jika dibandingkan sebab-sebab lain," katanya kepada media di parlimen semalam.

Menurut beliau, kerajaan perlu memikirkan satu mekanisma baru bagi membenarkan pemandu menggunakan cermin gelap pada kenderaan mereka memandangkan keadaan cuaca panas di negara ini.

"Kerajaan perlu mencari kaedah baru sebagai contoh mengenakan yuran minima bagi mereka yang ingin memasang cermin gelap pada kenderaan mereka," sambung beliau.

Shamsul melalui pertanyaan lisan meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan tindakan menyaman pemilik kenderaan bercermin gelap secara besar-besaran tetapi dalam masa yang sama tiada tindakan dikenakan kepada penjual cermin gelap.

Kementerian Pengangkutan melalui jawapan bertulis menjelaskan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menetapkan kuasa penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya terhad di jalan raya sahaja.

JPJ tidak mempunyai kuasa untuk memasuki premis-premis bagi menjalankan penguatkuasaan atau melarang penjualan cermin gelap.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ melalui bengkel pada 2 dan 3 Jun lalu telah menetapkan kadar ketelusan cahaya (Visible Light Transmittance-VLT) 70 peratus pada cermin hadapan pemandu dan cermin sisi pemandu pada kadar 50 peratus.

Manakala bagi cermin sisi penumpang sebelah belakang dan cermin belakang daripada 50 peratus kepada 30 peratus.

Kerajaan turut menetapkan kadar 'tolerance rate' mengikut Standard Operating Procedure (SOP) sebanyak 5 peratus.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...