Muhamad Sha’ni  
Muhamad Sha’ni

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas seperti menyaman syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan berkenaan DNA porsin (babi) yang terdapat dalam dua produk coklat syarikat berkenaan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ni Abdullah berkata, tindakan itu wajar diambil supaya ia menjadi iktibar kepada pengeluar makanan lain.

“Syarikat ini telah melanggar Akta Makanan secara terang-terang. Kerana itu, kerajaan perlu bertindak untuk memberi peringatan supaya perkara sama tidak berulang.
"Ini juga akan menunjukkan ketegasan kerajaan dalam memastikan tidak ada syarikat lain yang bersikap sambil lewa dalam mengeluarkan makanan berstatus halal," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pelanggan seolah-olah terpedaya dengan syarikat ini yang selama ini dilihat mewar-warkan mengikut piawaian halal.

Sha'ni berkata, bukan hanya dua produk ditarik sijil halal, tetapi semua produk coklat syarikat berkenaan patut menerima nasib yang sama.

"Penarikan sijil tersebut perlu kerana dikhuatiri syarikat itu menggunakan mesin pemprosesan yang sama untuk menghasilkan coklat bagi perisa lain.

"Pengguna juga perlu menitikberatkan isu sijil halal Malaysia supaya tidak terus menjadi mangsa kepada pengeluar makanan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Katanya, pengguna tidak boleh memandang enteng perkara ini kerana sikap tidak kisah beginilah yang menyebabkan pengeluar makanan mengambil mudah aspek pengeluaran makanan halal.