EIKHWAN ALI 
 EIKHWAN ALI
PAS tidak pernah tidak merasai susah dalam memperjuangkan agar terlaksananya di negara ini sebuah pemerintahan yang hukum-hukumnya diredhai oleh ALLAH SWT.

Usaha Pas untuk merealisasikan tujuannya seperti yang termaktub dalam Fasal 5 Perlembagaan Pas akan terus digerakkan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kerenah termasuklah dari Pakatan Rakyat (PR) sendiri dan juga kerajaan BN.

Seperti yang pernah ditegaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas dengan pendekatan ‘muwujahah silmiyyah’, akan sedaya upaya memanfaatkan saluran demokrasi yang ada sehingga ia benar-benar terlaksana.

Gambaran bahawa pelaksanaan hudud di Kelantan akan berhadapan dengan kesukaran kerana ia tidak sepakati dua (2) parti komponen PR iaitu DAP dan PKR sering dimainkan di media massa untuk melemahkan usaha-usaha ke arah pelaksanaan undang-undang jenayah syariah itu.
Pada saya, Pas tidak menafikan kesukaran itu sebagai suatu cabaran yang terpaksa Pas tempuhi.

Namun, Umno dengan bilangan ahli Parlimen seramai 89 orang melebihi Pas yang hanya 21 orang boleh memainkan peranan secara lebih berkesan untuk membantu Pas agar rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

PERTAMA, memberi kefahaman kepada ahli Parlimen bukan Islam dalam kalangan ahli Parlimen BN dan mendapatkan sokongan mereka. Tindakan ini akan dapat membantu Pas untuk mencukupkan bilangan majoriti mudah (112 undi) bagi meluluskan rang undang-undang tersebut.

Sekurang-kurangnya Pas tidak terbeban bersendirian untuk mendapatkan persetujuan ahli Parlimen bukan Islam di Parlimen.

KEDUA, Umno melalui salah seorang ahli Parlimennya dari Kelantan, membentangkan rang undang-undang persendirian yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Tindakan ini akan dapat membuktikan bahawa Umno benar-benar ikhlas dengan agenda pelaksanaan hudud dan sekali gus ia dapat menyanggah salah faham yang menganggap bahawa hudud agenda Pas semata-mata, sedangkan sebenarnya ia adalah kewajipan ALLAH ke atas umat Islam.

Saya yakin dan percaya, dengan peranan yang dimainkan Umno dan kesungguhan serta komitmen daripada Pas ini, hudud akan dapat dilaksanakan.

Kelantan sebagai negeri pertama yang melaksanakan hudud, diikuti Terengganu sebagai negeri kedua dan kemudiannya di Malaysia keseluruhannya pada suatu hari nanti. Insya-ALLAH.


ISLAM RAHMAT UNTUK SEMUA


EIKHWAN ALI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu