TERKINI :

Wednesday, April 16, 2014

Pertahanan: Kenapa M’sia beli mahal, negara lain murah?

KUALA LUMPUR: Usaha menaik taraf sistem pertahanan negara mesti dimulakan dengan siasatan terhadap laporan penyelewengan dalam pembelian peralatan pertahanan, kata Ketua Penerangan PAS Puat, Datuk Mahfuz Omar.

Sambil menyokong kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menaik taraf sistem pertahanan negara, beliau berkata, jika usaha menaik taraf sistem pertahanan itu tidak dimulakan dengan siasatan terhadap laporan penyelewengan tersebut, usaha itu tidak akan berjaya.

"Mesti disiasat mengapa negara lain beli peralatan pertahanan yang sama dengan harga yang jauh lebih murah.

"Kenapa Malaysia beli dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal, sedangkan yang dibeli adalah benda yang sama," katanya.

Hishammuddin sebelum itu menyatakan, wujud keperluan untuk menaik taraf sistem pertahanan negara bagi memperkukuh kawalan keselamatannya pada masa depan susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370.

Katanya, langkah itu perlu selepas ada keperluan mendedahkan maklumat sulit radar ketenteraan dalam pencarian pesawat yang hilang pada 8 Mac lepas.

Menekankan perlunya siasatan tersebut dilakukan, Mahfuz juga membangkitkan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus menikus apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Najib menyamannya berikutan tuduhannya tentang komisen pembelian Sukhoi dan Scorpene.

"Bukan setakat itu sahaja, percubaan Najib untuk menjelaskan perkara itu dalam Parlimen menimbulkan lebih banyak keraguan kerana caranya lebih kurang sama dengan sidang akhbar beliau tentang pesawat MH370," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Memburukkan lagi keadaan, katanya, ialah kita tidak tahu atau tidak boleh guna sepenuhnya peralatan pertahanan yang kita beli.

Mahfuz berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendedahkan perkara itu.

"Pesawat Amerika kononnya tahan lebih lama. Tetapi kita perlu ingat apabila duit untuk beli MiG-29 diguna untuk beli pesawat F/A-18, akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

"Mereka tidak beri "source code" yang mana ini menghadkan kegunaan F/A-18 untuk pameran sahaja," kata Dr Mahathir.

Mahfuz juga mempertikaikan tindakan membuat kesimpulan "tidak mengancam" yang dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap pertahanan negara.

Sebelum ini dilaporkan bahawa radar tentera telah mengesan pesawat itu sehingga ia hilang hubungan pada jam 2.15 pagi semasa ia sampai ke Laut Andaman, tetapi identitinya tidak diketahui pada masa itu dan dianggap tidak mengancam.

"Ini menunjukan kelemahan "standard operating procedure" (SOP). Adakah tidak wujud langsung penyelerasan dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) atau lain-lain pihak untuk mengetahui status pesawat yang identitinya tidak diketahui itu?" katanya.

Lebih menunjukkan kelemahan ialah apabila Hishammuddin menafikan laporan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menghantar pesawat mencari ke Laut China Selatan dan Selat Melaka sejurus selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang.

"Sudah tahu hilang, kenapa tidak segera mencari?" Mahfuz mempersoalkan.

Beliau juga membangkitkan laporan bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan bagi memberi penjelasan berhubung Laporan Ketua Audit Negara Siri Satu 2013.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...