TERKINI :

Sunday, April 27, 2014

Penanam daum ketum disaran ceburi pertanian organik - Mukhriz

Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai daun dan air ketum daripada Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kedah, Adli Koshim (dua dari kiri) selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum peringkat negeri di Alor Setar, Kedah semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 21 April - Penduduk di negeri ini yang menjadikan penjualan daun ketum sebagai punca pendapatan utama disarankan agar menceburi bidang pertanian organik bagi menggantikan penanaman pokok ketum di kawasan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau bimbang dengan penyalahgunaan daun ketum di negeri ini kerana tanaman pokok itu diusahakan sebagai satu industri yang membawa pulangan yang tinggi.

"Saya lihat dari segi ekonomi, kalau boleh tunjuk kepada mereka dengan menanam sayur dan buah-buahan organik boleh menjana pulangan yang tinggi berbanding menjual daun ketum. Ini boleh menjadi motivasi agar mereka berhenti menanam pokok ketum.

"Namun saya yakin, jika masyarakat sedar dengan baha­yanya ketum, ini akan mendorong mereka mencari tanaman alternatif yang memberi pulangan tinggi kepada penanam pokok tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, seminar yang diadakan di Dewan Seri Negeri hari ini adalah satu wadah yang tepat bagi menyalurkan maklumat serta fakta tentang keburukan akibat penyalahgunaan air daun ketum kepada pemimpin masyarakat.

"Maklumat yang diperoleh hari ini perlu disampaikan dan dipanjangkan kepada setiap lapisan masyarakat agar mereka tidak terjebak dalam gejala tersebut," ujarnya.

Tambah beliau, pihak jabatan dan agensi kerajaan diharapkan dapat berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk merangka mekanisme baharu bagi menarik minat golongan muda, seterusnya melahirkan generasi yang bijak serta mengamalkan gaya hidup sihat dan berjaya.

"Barisan pemimpin masyarakat seharusnya sedar bahawa kita merupakan barisan hadapan yang dekat dengan komuniti tanpa mengira usia mahupun gender.

"Lantaran itu, kita perlu memperkasakan saf kepimpinan dengan menimba ilmu yang berkaitan permasalahan rakyat agar sentiasa rele­van dan mendepani isu ini dengan secara menyeluruh dan holistik," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140422/wu_01/Ceburi-pertanian-organik---Mukhriz#ixzz301Wwyngd
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...