Peniaga minta kekalkan sistem undi  
Atan menunjukkan borang permohonan sewa tapak MBAS

ALOR SETAR - Seorang peniaga meminta Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengekalkan sistem cabut undi untuk semua tapak bazar Ramadan dan mengekalkan harga sewa seperti tahun lalu bagi semua kategori lot perniagaan.

Atan Senapi, 47, merayu MBAS menimbang semula keputusan itu kerana membebankan peniaga kecil-kecilan yang tidak mampu membayar harga tender tinggi.

“Sebelum ini tapak di Jalan Sultan Badlishah dibuat secara undian dan kami berpuas hati kerana lebih adil. Jika dibuat secara tender, hanya golongan peniaga berduit yang mampu. Bagaimana pula dengan nasib peniaga seperti kami.

“Memang kami akui tindakan itu untuk membanteras kegiatan individu yang mengambil kesempatan menjadi orang tengah mengaut keuntungan menjual semula tapak kepada peniaga lain. Tetapi MBAS boleh menyenarai hitam mereka yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.
Menurutnya, beberapa tapak menjual pakaian dan barang hiasan (berkhemah) di Jalan Tunku Ibrahim, belakang perhentian bas, hadapan CIMB, bersebelahan Agro Bak, Starwalk dikenakan sewa RM2,500 dan deposit RM1,000.

“Jumlah keseluruhan mencecah RM3,500. Tahun sebelumnya sewa dan deposit hanya RM2,500. Kami minta supaya kadar sewa dikekalkan seperti biasa.

“Kami minta pelan tapak perniagaan di kawasan CIMB dibuat sama seperti tahun 2012 kerana lebih tersusun dan memberi keselesaan kepada pengunjung serta peniaga,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad mengumumkan tapak pakaian/barang hiasan yang berkhemah di Jalan Sultan Badlishah ditender dan dikendalikan oleh bahagian bekalan kontrak. Harga minimum bagi tapak ini adalah RM3,000 dan tidak perlu menyediakan wang pertaruhan.

Atan juga memohon MBAS menyediakan pelan tapak perniagaan lebih awal iaitu semasa hari penghantaran borang iaitu Khamis ini bagi memudahkan peniaga mengetahui tempat yang mereka peroleh.

“Hanya sepanjang Ramadan kami golongan Bumiputera mencari pendapatan lebih kerana pada hari biasa pulangan yang diperoleh tidak menentu.

“Namun, selalunya pada awal Ramadan perniagaan tidak begitu rancak berbanding beberapa hari sebelum Syawal apabila orang ramai berpusu-pusu keluar mencari kelengkapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, jika harga sewa dikurangkan, mereka boleh menggunakan hasil jualan untuk membuat pusingan modal seterusnya.

“Langkah ini membantu peniaga Bumiputera terus bersaing secara sihat dalam bidang perniagaan,” katanya.