Mahfuz Omar
ALOR SETAR - Pas Kedah bimbang penutupan operasi Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) yang dijangka berkuat kuasa Jun nanti akan menjejaskan nama baik dan imej Kedah sebagai pusat pendidikan yang menjadi kebanggaan ramai.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, adalah tidak wajar menutup AiU atas apa alasan sekalipun sebaliknya pengurusan AiU sejak awal lagi perlu membuat perancangan rapi tentang bentuk pengurusan universiti berkenaan.

“Kalau mereka rasa tidak mampu untuk menjadi universiti berkonsepkan kebajikan, mereka tidak patut buat perkara itu sejak dari awal lagi,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk menyelamatkan universiti itu sudah terlambat kerana AiU didakwa telah meminta pelajar mengosongkan institusi berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu campur tangan dalam perkara ini bagi memastikan kebajikan pelajar terjaga.

“Saya difahamkan universiti telah membuat perjanjian baharu dengan pelajar yang nak sambung pengajian ke tempat lain atau menamatkan pengajian.

“Pelajar yang nak sambung pengajian, AiU akan berusaha mencari institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang mahu menerima mereka. Malah, pembiayaan pengajian mereka juga akan ditanggung sepenuhnya Yayasan Albukhary dengan syarat tertentu,” katanya.

Beliau juga difahamkan pelajar luar negara yang tidak mahu menyambung pengajian pula akan dihantar pulang ke negara masing-masing dengan kos perjalanan akan ditanggung sepenuhnya AiU dan akan diberi wang pampasan.

AiU mempunyai 600 orang pelajar dari dalam dan luar negara, serta lebih 100 orang kakitangan dan pensyarah.