TERKINI :

Saturday, April 12, 2014

Hormati hasrat PAS laksana hudud, kata penyokong kerajaan Kelantan

Hormati hasrat PAS laksana hudud, kata penyokong kerajaan Kelantan
KOTA BHARU: Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (KPKK) meminta DAP dan Parti Keadilan Rakyat supaya menghormati hasrat kerajaan PAS Kelantan yang mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Presidennya, Razak Abas berkata kedua-dua parti itu tidak perlu mempertikaikan hasrat PAS untuk melaksanakan hudud kerana undang-undang jenayah Islam itu tidak melibatkan orang bukan Islam.

Katanya, kerajaan negeri juga harus melaksanakan undang-undang Islam itu tanpa memikirkan soal hubungan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

"DAP (parti) bukan Islam, Karpal Singh bukan (beragama) Islam. Jadi kalau hendak ambil kira bukan Islam dengan membatalkan hudud itu, ia bercanggah dengan hukum Allah.

"Saya percaya semua ahli parlimen dan ADUN Kelantan daripada UMNO akan menyokong hukum ini kerana mereka beragama Islam," katanya dalam satu sidang media selepas kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, pada Jumaat.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum itu mengeluarkan kenyataan menggesa semua ahli Parlimen beragama Islam supaya menyokong rang undang-undang persendirian PAS Kelantan itu apabila dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata tidak mengapa sekiranya ahli parlimen bukan Islam daripada DAP atau PKR menolak rang undang-undang tetapi suatu masa nanti mereka mungkin akan menyokongnya juga.

"Kita harap Allah akan buka hati semua ahli parlimen untuk menyokong," katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat.

Nik Aziz juga menjelaskan undang-undang hudud itu bukan ciptaan PAS tetapi telah ada lama sebelum parti Islam itu ditubuhkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu berkata rang undang-undang persendirian berhubung pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan 1993 akan dibentangkan di Dewan Rakyat seawal-awalnya pada Jun ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Selasa mengulangi bantahan parti itu terhadap hudud dan mengatakan pendirian DAP masih belum berubah.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menegaskan enakmen Kelantan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Parlimen.

Jelas Razak, Karpal Singh tidak perlu bimbang kerana hukum hudud tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam.

Dalam pada itu, Razak berkata adalah mustahil Karpal tidak faham mengenai hukum hudud kerana sebelum ini bekas pengerusi DAP itu pernah diberi taklimat mengenai hal tersebut.

Beliau berpendapat kenyataan keras Karpal mengenai penentangannya terhadap hudud hanyalah politik semata-mata untuk menjaga ahli-ahli DAP.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...