rumah  
Sekadar gambar hiasan.

SEKARANG ini bukan mudah untuk membeli harta terutama sekali dengan harga yang semakin melambung tinggi, yang tidak mampu dibeli oleh kebanyakan orang.

Di bandar-bandar besar, membeli harta bukan lagi tentang membeli rumah impian tetapi lebih kepada membeli apa yang mampu.

Bagi kebanyakan orang, membeli rumah impian yang hampir dengan tempat kerja serta kemudahan awam akan tinggal sebagai impian.

Kos harta di kawasan yang tidak asing lagi dalam lingkungan Lembah Klang dianggarkan tidak kurang daripada RM500,000 bagi kediaman pangsapuri sementara hartanah pula boleh mencecah lebih RM1 juta.

Malahan mereka yang berfikir untuk membeli rumah untuk kali kedua sebagai pelaburan mungkin mendapati sukar memperoleh keuntungan dalam jangka pendek kecuali boleh membeli secara tunai.

Dilemanya lagi berat bagi mereka yang mahu membeli rumah buat kali pertama.
Ini kerana mereka terpaksa mengeluarkan wang pendahuluan yang tinggi di samping meyakinkan institusi kewangan bahawa mereka layak untuk memohon pinjaman yang besar.
  
Rancang untuk membeli
 
Untuk itu, bagi mereka yang baru bekerja atau baru memulakan perniagaan, penting untuk mereka membuat simpanan awal supaya mampu membeli rumah.

Menurut Lembaga Perumahan Negara, mereka yang mahu membeli rumah buat julung-julung kalinya perlu sedar untuk memiliki rumah, mereka mestilah mampu membayar pinjaman perumahan serta bayaran berkaitan, contohnya cukai tanah dan cukai pintu.

Sebagai panduan, bayaran balik pinjaman perumahan mesti tidak melebihi 30 peratus jumlah pendapatan. 

Bagaimanapun, untuk tujuan ini, jumlah pendapatan itu adalah selepas pemotongan yang ditetapkan seperti KWSP dan sumbangan SOCSO.

Pembeli rumah juga perlu tahu selepas membeli harta, mereka perlu menyediakan deposit 10 peratus sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli dan juga mesti membayar yuran guaman, duti setem dan bayaran lain.

Untuk itu, mereka perlu sedar bahawa mereka memerlukan simpanan lebih untuk menampung kos yang perlu dibayar serta-merta.

Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai simpanan, lebih elok untuk menyewa terlebih dahulu sebelum membuat bayaran pada masa yang sesuai.
    
Perlunya simpanan
   

Sementara itu, Penasihat Kewangan, Teresa Koh berkata, di samping mempunyai pekerjaan atau punca pendapatan yang tetap, seseorang yang mahu membeli rumah perlu juga mempunyai simpanan.

Beliau menegaskan seseorang perlu menyimpan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pendapatan sebagai simpanan.

"Andaikan seorang siswazah muda dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan dia menyimpan RM1,000 sebagai simpanan, dengan mengambil kira semua perbelanjaan atau pendapatan yang tidak dijangkakan, dia boleh mengumpul RM65,000 dalam masa lima tahun.

"Ini sudah tentu dapat membantu dia membayar wang pendahuluan 10 peratus sekiranya mahu membeli rumah berharga RM500,000," katanya.

Sekiranya kita mengandaikan dia mula bekerja pada usia 25 tahun, selepas lima tahun, dia sudah ada wang pendahuluan RM50,000.

Sementara itu, dalam seseorang itu menguruskan matlamat kewangannya, perancang kewangan Jeremy Tan percaya aliran tunai yang positif juga sama pentingnya.

Tambahan, selain menyimpan untuk membayar wang pendahuluan, matlamat mempunyai wang adalah untuk menampung keperluan kecemasan juga penting.

"Tidak ada formula khas dalam mencapai sasaran serta matlamat kewangan. Ianya lebih kepada disiplin, pemikiran, keutamaan dan melakukannya," kata beliau.
 
 Kisah pembeli rumah pertama
 
Bagi Rosemarie Khoo Mohd Sani, 31, yang pertama kali membeli rumah, dia memilih untuk membeli pangsapuri kos sederhana yang sedia ada terletak kira-kira 20 km dari pusat bandar.

Katanya, dia tidak mampu membeli unit yang baru.

"Saya lebih rela menghabiskan masa lebih sejam untuk ke tempat kerja dan menjimatkan ribuan ringgit daripada membayar harga yang tinggi untuk pangsapuri yang hampir dengan pejabat," katanya.

Dia mula menyimpan wang sekurang-kurangnya RM300 sebulan sebaik sahaja dia mula bekerja dan selepas lima tahun, dia mempunyai lebih RM20,000, yang dapat membantunya membayar wang pendahuluan.

Kos pangsapuri Rosemarie seluas 77.11 sq meter di Seri Kembangan adalah tiga kali lebih rendah berbanding pangsapuri di sekitar kawasan pejabatnya di mana harga mencecah enam angka.

"Saya beli pangsapuri ini pada tahun 2012 semasa harga masih rendah, dan sekarang nilai pangsapuri saya sudah meningkat hampir dua kali ganda," katanya.

Rosemarie menggesa semua pembeli rumah kali pertama membeli rumah sebaik sahaja mampu dan jangan bimbang sangat tentang lokasi kerana sekarang ada banyak kemudahan pengangkutan awam.

"Dalam masa sebulan sahaja, harga harta boleh berbeza. Perlu pantas bertindak," katanya.
    
Ruangan sisi bantuan kerajaan

 
Kerajaan menyediakan bantuan bagi mereka yang tidak mampu membeli rumah daripada pemaju swasta kerana harga yang melampau tinggi.

Bernama mendapati Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempunyai beberapa skim dan program.

Skim dan program itu ialah Skim Rumahku, Program Perumahan Rakyat (PRP), Skim Pinjaman Perumahan (SPP) dan Program Perumahan Perkhidmatan Awam 1Malaysia yang melibatkan Unit Perkongsian Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya.

Syarikat milik kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bertanggungjawab membina rumah mampu milik iaitu Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Rumah Mampu Milik dan Rumah Idaman Rakyat.

Sementara itu, PR1MA Corporation menyelia Program Perumahan Rakyat (PPR)1Malaysia.

Kementerian Kewangan turut mempunyai agensi kewangannya iaitu Cagamas Berhad untuk membantu memudahkan permohonan pinjaman perumahan serta kelulusan melalui Skim Rumah Pertamaku.

Pada 25 Oktober, 2013 sewaktu pembentangan Belanjawan 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Skim Rumahku yang membolehkan lebih banyak kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana (isirumah dengan pendapatan RM3,000-RM6,000) untuk membeli rumah pertama mereka.

Di bawah skim ini, insentif sebanyak RM30,000 diberi kepada pembeli rumah yang layak.

Di bawah skim ini, sekiranya rumah yang hendak dibeli kosnya RM100,000, pembeli hanya membayar RM70,000.

Pembeli juga tidak perlu membayar wang pendahuluan 10 peratus untuk rumah kerana ia adalah sebahagian daripada RM30,000 yang dibayar kerajaan terus kepada akaun HDA pemaju.

Kerajaan memperuntukkan RM300 juta pada tahun 2014 untuk 10,000 unit Rumahku yang akan dibina oleh pemaju perumahan swasta.

Skim ini dilaksanakan pada 1 April, 2014.

Sepanjang Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak 39,000 unit rumah akan dibina untuk menampung keperluan kumpulan berpendapatan rendah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Rumah-rumah itu juga untuk menampung keperluan penempatan semula setinggan.

Pada masa ini, unit-unit PPR disewa dengan kadar RM124 sebulan dan dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak. - Bernama