PEMBACA budiman tidak perlu naik kapal terbang untuk sampai ke destinasi dalam masa singkat.

Ada pemandu bas ekspres yang boleh bawa anda antara Kuala Lumpur (atau Shah Alam) dan Pulau Pinang dalam masa sedikit lebih daripada tiga jam.

Tidak percaya? Cuba bas malam dan kalau nasib anda ‘baik’, anda akan mendapat perkhidmatan seperti itu.

Mulai tengah malam dan pada waktu dini hari, apabila lebuh raya tidak banyak kenderaan, anda boleh lihat beberapa pemandu yang memandu macam pelesit.

Barangkali mereka berazam  jadi seperti juara Formula One.

Peratusan pemandu yang degil, pandu lebih daripada had laju dan tidak mempedulikan keselamatan penumpang, tidak besar. Kebanyakan pemandu berdisiplin dan berhemah, tetapi yang sedikit ini sudah cukup untuk mengakibatkan ramai hilang kaki dan tangan, bahkan nyawa.

Saya sudah menulis masalah pemandu pelesit beberapa kali dan sangat kecewa dengan kekerapan kemalangan di negara ini dan tindakan yang diambil. Saya percaya saya bukan keseorangan; pasti ramai lagi berkongsi perasaan, apa lagi mereka yang kehilangan isteri, suami, anak, ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan dalam keadaan menyayat hati.

Tentunya semua mahu tahu apa yang sudah dan akan dibuat pihak berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan, SPAD, JPJ dan polis, bagi menentukan kemalangan, dalam kes ini, libatkan bas, boleh dielak.

Jangan pandang ringan perkara ini, apa lagi cuba cuci tangan.

Dalam tempoh lapan bulan sahaja selepas tragedi Genting pada Ogos 2013 meragut 37 nyawa dan mengakibatkan 16 cedera, terdapat 14 lagi kes kemalangan bas dilaporkan di seluruh negara, yang meragut 16 nyawa dan mengakibatkan 149 orang cedera.

Saya tidak ada ruang untuk mencatatkan pecahan mangsa dalam tiap-tiap kemalangan itu, tetapi cukup dengan menyentuh kes dua kemalangan bas yang serius yang berlaku pada hari yang sama, iaitu 12 April lalu. Satu di Kulai, Johor, dan satu lagi di Bentong, Pahang.

Dalam kes dekat Kulai, lapan cedera apabila bas ekspres membawa 30 orang untuk ke Maran, Pahang, terbalik di KM26.8 Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pada hari yang sama dan waktu hampir sama, sebuah lagi bas dua tingkat membawa 68 penumpang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan, terbalik di Km11 Jalan Bentong-Raub. Tiga maut, 10 parah dan 55 lagi cedera ringan.
Esok lusa kita tidak tahu apa pula berita buruk berkaitan bas ekspres.

Tentunya kita tidak mahu kemalangan berlaku, bahkan kita berharap dan berdoa perkara seperti itu tidak berulang lagi.

Tetapi selagi terdapat pemandu pelesit yang degil, tidak peduli tentang keselamatan penumpang dan pengguna jalan serta perasaan orang serta kelemahan yang tidak diatasi, maka kita sentiasa berada dalam kebimbangan dan risiko.

Apa yang jelas, banyak daripada kemalangan bas ekspres berlaku di waktu dini hari disebabkan kelajuan, kecuaian, mengantuk, bas yang tidak stabil dan sebagainya.

Laporan Kemalangan Genting difahamkan telah menolak penggunaan bas dua tingkat di jalan berbukit dan berliku-liku. Apa tindakan SPAD dan pihak lain yang terlibat dalam perkara ini?

Pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pengangkutan, perlu bertindak segera untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa manusia yang tidak berdosa dalam kemalangan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Haramkanlah perkhidmatan bas ekspres di waktu malam jika perlu. Ubah suai gear bas, umpamanya, supaya bas tidak boleh laju daripada sepatutnya.

Janganlah ada pihak yang fikirkan untung hingga sanggup berhadapan dengan risiko kehilangan nyawa.

Cukuplah dengan kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku pada masa lepas.

Cukuplah kita terpaksa menerima ‘pengiktirafan’ sebagai antara negara yang mencatat bilangan kematian yang tinggi dalam kemalangan jalan raya.

Sampai bila kita terpaksa menyaksikan peristiwa menyayat hati seperti ini berterusan?

Bertindaklah segera secara berkesan sebelum lebih banyak nyawa terkorban.