TERKINI :

Wednesday, April 23, 2014

Dulu NFC dapat RM250juta, kini NSERC dapat RM150juta....pakai pokai gitu ja MALAYSIA...!!!

NSERC dapat RM150 juta, pegawai Najib hubungi Rafizi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak perlu menerangkan kepada rakyat apakah hubungan istimewa di antara NSERC dan beliau yang membolehkan NSERC diluluskan dana RM150 juta secara percuma untuk mengusahakan satu projek oleh syarikat tersebut.

“Jika tiada apa-apa makluman dari pihak Datuk Seri Najib, saya akan membuat satu laporan SPRM mengenai perkara ini minggu depan,” kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan, sebagaomana di bawah.

Sebelum ini, saya telah sertakan perutusan surat-menyurat di antara sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC) dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminitkan pertimbangan agar NSERC diberikan dana sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersilnya.

Mengikut rekod NSERC sendiri, di dalam satu surat kepada Kerajaan Negeri Terengganu bertarikh 27 Januari 2014, selain dari dana awam berjumlah RM100 juta di bawah geran R&D yang dikelolakan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), syarikat yang sama juga telah dianugerahkan satu lagi dana berasingan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air). Salinan surat dari NSERC kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai perkara ini ada dilampirkan bersama.
Ini bermakna, sebuah syarikat swasta iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd telah berjaya mendapat peruntukan dana awam sebanyak RM150 juta dari dua kementerian berbeza untuk mengusahakan projek komersilnya. Malah, jumlah RM150 juta ini melebihi dari kos projeknya yang dimaklumkan kepada MOSTI iaitu RM130 juta.

Jumlah RM150 juta adalah satu jumlah yang sangat besar dan tidak wajar dibenarkan diperuntukkan kepada sebuah projek komersil milik syarikat swasta seperti ini.

Sejak saya mendedahkan perkara ini bermula hari Isnin lepas, tidak ada satu kenyataan pun dari Perdana Menteri atau kementerian-kementerian terbabit. Saya hanya dihubungi melalui SMS oleh seorang yang mengakui pegawai Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk berbincang dan mengesahkan maklumat yang saya dedahkan.

Bukti-bukti yang saya tampilkan setakat ini adalah jelas dan tidak perlulah saya duduk berbincang dengan sesiapa mengenai perkara ini. Saya masih menunggu tindakan dan penerangan rasmi dari pihak kerajaan mengenai skandal yang membabitkan geran R&D dan teknologi hijau yang terbesar setakat ini.

Datuk Seri Najib wajar melakukan perkara-perkara berikut ekoran dari pendedahan ini:

1.      Menghentikan serta-merta kelulusan pemberian dana berjumlah RM150 juta dari dua kementerian ini sehingga siasatan lanjut dimulakan;

2.      Membentuk satu panel pakar yang bebas untuk menilai kandungan dan potensi R&D dan pengkomersilan produk yang dicadangkan oleh NSERC dan memastikan proses saringan yang sama dipatuhi untuk mendapatkan geran R&D seperti mana pemohon geran R&D yang lain;

3.      Menubuhkan satu panel khas dari Jabatan Ketua Audit Negara untuk menyiasat serta merta keputusan meluluskan dana sebanyak RM150 juta dari kedua-dua kementerian ini.

Yang paling penting, Datuk Seri Najib perlu menerangkan kepada rakyat apakah hubungan istimewa di antara NSERC dan beliau, atau ahli keluarga beliau, atau Umno, atau sesiapa di kalangan pimpinan Barisan Nasional (jika ada) – yang membolehkan NSERC diberi layanan sedemikian rupa sehinggakan diluluskan dana RM150 juta secara percuma untuk mengusahakan satu projek oleh syarikat tersebut.

Jika tiada apa-apa makluman dari pihak Datuk Seri Najib, saya akan membuat satu laporan SPRM mengenai perkara ini minggu depan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...