KUALA LUMPUR - "Saya bukan anti-kerajaan," tegas bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika mengulas tentang kepincangan Menteri Kewangan dalam mentabdir urus sistem perbelanjaan negara.

Menerusi ucapannya dalam Program Bicara Petang Bersama Tun Daim Zainuddin petang ini, beliau turut menegaskan tegurannya tidak ada kaitan dengan sebarang unsur anti-kerajaan sebaliknya ianya hanya satu perbincangan dan cadangan yang dikemukakan sebagai penambahbaik dalam penyelarasan ekonomi bersama.

"Saya bukan bermusuh dengan kerajaan, saya cuma anti dengan dasar kerajaan yang sudah lompong dan tidak betul.

"Ini isu yang serius, rakyat harus tahu bahawa dasar yang diamalkan kerajaan tidak memberi faedah serta manfaat kepada rakyat malah ianya telah membebankan rakyat dari segi peningkatan perbelanjaan ekonomi seharian," katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu selidik dan memperbetul semula dasar perlembagaan kerajaan supaya ekonomi negara dapat dimajukan.

"Kerajaan sepatutnya mencari cara  serta jalan penyelesaian untuk menangani masalah ekonomi di negara ini.

"Kerajaan juga harus mengambil kira keperluan kita sebagai orang Melayu dari segi ekonomi dan pembangunan demi memajukan kehidupan bangsa Melayu," katanya lagi.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menggesa kerajaan memenuhkan portfolio Menteri Kewangan bagi memastikan sistem kewangan dan perbelanjaan negara berjalan dengan lebih baik.

Bercakap dalam Program Bicara Petang Bersama Tun Daim Zainuddin yang membicarakan topik "Ekonomi Bandar Malaysia, Adakah Bandar Melayu?", beliau yakin aliran perbelanjaan negara dapat diurus dan ditadbir dengan baik sekiranya portfolio Menteri Kewangan dipenuhkan.

"Ini adalah isu serius, kerajaan Malaysia berhutang RM600 billion setahun kerana tidak pandai mengurus sistem kewangan dengan baik, ini menyebabkan belanjawan negara jadi tinggi dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.

"Sistem kewangan negara perlu dikaji semula, kerajaan harus bijak mengurus dan mentadbir perbelanjaan negara supaya tidak membebankan rakyat," katanya.

Menurutnya lagi, dasar pincang yang diamalkan kerajaan merupakan faktor utama masyarakat mula menyokong pihak pembangkang.

"Bila perbelanjaan harian meningkat, rakyat akan mula rasa terbeban dengan sistem yang diamalkan kerajaan, sebab itulah pihak pembangkang semakin kuat disokong rakyat.

"Kerajaan tidak boleh marah atau tidak puas hati atas keputusan rakyat yang kini semakin berpihak kepada pembangkang, kerana amalan kerajaan masa kini banyak membebankan rakyat," jelasnya.