Bantah buka semula kuari tanah  
Setiap kali lori keluar masuk, penduduk Kampung Tengah akan berhadapan masalah debu.

POKOK SENA - Penduduk dari Kampung Tengah, Mukim Derang dekat sini kecewa dengan tindakan Pejabat Daerah Pokok Sena kerana meluluskan kembali kerja mengambil tanah di kampung itu hingga menimbulkan masalah debu.

Sejak kuari tanah itu dibuka semula, banyak lori keluar masuk ke kampung itu hingga menimbulkan masalah debu, malah keselamatan dan kesihatan penduduk turut terancam.

Penduduk, Mohd Asri Zakaria, 49, berkata, kuari tanah itu telah dibuka lima tahun lalu dan masalah sama menyebabkan penduduk membuat bantahan hinggalah kerja mengorek tanah itu dihentikan.

“Sejak kuari tanah itu beroperasi, penduduk terpaksa menghidu udara yang tercemar kerana debu.

"Oleh kerana masalah itu bertambah serius, penduduk telah membuat bantahan dan kerja mengambil tanah itu telah dihentikan seketika,” katanya.
Bagaimanapun, kerja mengambil tanah itu kini beroperasi semula sejak November lalu dan sekali lagi penduduk menghadapi masalah serupa hingga terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana masalah debu.

“Setiap hari penduduk terpaksa membasuh dan menyidai pakaian dalam rumah kerana debu dari jalan menyebabkan pakaian kotor.

"Keadaan debu bertambah serius pada musim kemarau apabila banyak lori keluar masuk hingga dinding rumah jadi warna merah,” katanya.

Bagi Abd Latif Othman, 44, masalah itu bukan sahaja menyebabkan anaknya tidak dapat bermain di luar malah keluarganya sering batuk dan selesema akibat aktiviti kerja mengorek tanah berhampiran rumahnya itu.

“Setiap dua hari sekali kami sekeluarga terpaksa membersihkan debu di cermin dan pintu serta tingkap juga  tidak dapat dibuka kerana bimbang menjejaskan kesihatan anak di rumah,” katanya.

Abd Latif berkata, pihak pengusaha kuari perlu prihatin dengan masalah penduduk dan mereka perlu menyiram jalan setiap sejam sekali supaya dapat mengurangkan masalah debu di kampung itu.

Selain itu katanya, lori yang datang sejak awal pagi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya di kampung itu.

"Lori yang dipandu laju membimbangkan ibu bapa atau pelajar yang turut mengguna jalan yang sama.

"Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dapat turun dan memantau masalah di kampung ini sebelum kemalangan meragut nyawa berlaku,” katanya.