TERKINI :

Friday, March 14, 2014

Tragedi MH370: Kuatkan Doa, Zikir, Munajat & Qunut Nazilah, Hindari Syirik & Khurafaf


1. Tragedi MH370 telah masuk hari ke-6 pada hari ini. Meskipun pelbagai usaha menerusi pelbagai peralatan canggih dan teknologi moden digunakan namun status keselamatan penumpangnya masih lagi misteri dan belum nampak sebarang petanda yang kukuh bagi merungkai dan menyelesaikan misteri kehilangan pesawat dan penumpangnya.

2. Seluruh rakyat dan pelbagai pihak begitu prihatin menghulurkan bantuan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Di pihak kerajaan, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam menjadi agama Persekutuan, segala usaha yang bercanggah dengan syarak mesti dijauhi. Penggunaan bomoh yang menggunakan bantuan jin dan makhluk halus serta merujuk kepada tukang tilik dan tukang tenung mesti dielakkan sebagai satu teladan yang baik kepada rakyat. Rakyat perlu diperingatkan dengan hadis Sahih riwayat al-Zahabi

من أتى عرَّافًا أو كاهنًا فَصدَّقَهُ بما يقولُ فقد كفرَ بما أنزلَ على محمَّدٍ

"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik masa lepas ('arraf) dan tukang tenung masa depan (kaahin) lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw."

3. Dalam menghadapi situasi yang bersifat bencana negara ini seluruh rakyat perlu dididik dengan penyelesaian cara islam sebagaimana berikut:

A. Meyakini bahawa segala apa yang berlaku adalah musibah yang mengajak setiap muslim kembali kepada Allah dengan menyebut "innaalillaahi wainnaa ilaihi raaji'un" dan meyakini maksudnya iaitu "kita adalah milik Allah dan kita pasti kembali kepada-Nya".
Allah berfirman:
وَبَشِّر الصَّابِرينَ الَّذينَ إذَا أصابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قالُوا إنَّا لِلَّهِ وَإِنّا إلَيْهِ رَاجِعُونَ .
"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar yang apabila ditimpa dengan musibah mereka menyatakan "kita milik Allah dan kita pasti kembali kepada-Nya"." surah al-Baqarah: 155

Seterusnya berdoa sepertimana ditunjukkan oleh baginda Muhammad saw dalam hadis Sahih Muslim iaitu:

َ اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها

"Ya Allah, berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik"

B. Berusaha dengan sedaya upaya menangani misteri kehilangan berdasarkan kemampuan ilmu dan peralatan yang ada lalu berserah diri (tawakkal) kepada Allah agar diberi taufik kejayaan merungkaikan permasalahan.

C. Meyakini bahawa doa adalah senjata sebenar orang-orang beriman sebagaimana sabda Nabi saw dalam Hadis Sahih riwayat Sayuti
الدُّعَاءُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ
"Doa adalah senjata mukmin"

Allah berfirman

{أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ} [النمل : 62
Maksudnya: "Siapakah yang menyahut orang yang kesempitan apabila dia berdoa dan menyingkap trajedi buruk dan dia menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi. Adakah ada Ilaah (tuhan yang disembah) beserta Allah? Sedikit sangat kamu mengambil peringatan" (surah al-Naml: 62)

D. Membanyakkan zikir dan doa di kala berhadapan musibah agar segala musibah dan tragedi dibuka dan dilepaskan oleh Allah dan semua misteri terungkap dengan segera.

Antaranya

1. Zikir Nabi Yunus

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ}

"Tiada Ilaah (tuhan yang disembah) melainkan Kamu. Maha suci Engkau. Sesungguhnya saya tergolong kalangan orang-orang yang zalim"
surah al-Anbiya: 87

Zikir ini diamalkan oleh Nabi Yunus di saat beliau diuji dengan musibah besar melibatkan nyawa iaitu ditelan oleh ikan besar di dalam lautan. Dalam kegelapan perut ikan besar tersebut beliau terus berzikir dengan zikir di atas lalu akhirnya beliau selamat dengan izin Allah.

عن سعد - رضي الله عنه - قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ألا أخبركم بشئ إذا نزل برجل منكم كرب ، أو بلاء ، من أمر الدنيا دعا به ففرج عنه ؟ دعاء ذي النون : لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين )
Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih : "mahukah kamu saya khabarkan suatu doa apabila turun trajedi pada seseorang atau bala daripada urusan dunia dia berdoa dengannya lalu Allah singkapkan? Iaitu doa Nabi Yunus
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَك إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

2. Zikir ketika Kesukaran yang disebut oleh Nabi saw sebagaimana Hadis Sahih Bukhari dan Tirmizi

لا إلهَ إلا اللهُ العظيمُ الحليمُ، لا إلهَ إلا اللهُ ربُّ العرشِ العظيمِ، لا إلهَ إلا اللهُ ربُّ السماواتِ، وربُّ العرشِ الكريمِ
"Tiada Illah (tuhan yang disembah) melainkan Allah yang Maha Hebat lagi Maha Bersopan. Tiada Ilaah (tuhan yang disembah) melainkan Allah Rabb yang mencipta, memiliki dan menguruskan Arasy yang hebat. Tiada Ilaah (tuhan yang disembah) melainkan Allah Rabb yang memiliki dan menguruskan langit-langit dan Rabb yang mencipta, memiliki dan menguruskan Arasy yang mulia."

لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ الحليمُ الحَكيمُ ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ ربُّ العرشِ العظيمُ ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ ربُّ السَّمواتِ والأرضِ وربُّ العرشِ الكريم

3. Doa ketika kesukaran sebagaimana Hadis Hasan riwayat Abu Dawud

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو ، فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْت
َ
Maksudnya: "Ya Allah. Hanya rahmatMu saya harapkan. Maka janganlah Kamu serahkan diri saya kepada diri saya sendiri meskipun sekelip mata dan perelokkanlah untuk diri saya urusan saya keseluruhannya. Tiada Ilaah (tuhan yang disembah) melainkan Engkau.

4. Zikir yang dianjurkan membacanya di awal pagi dan petang yang mengandungi maksud memohon bantuan kepada Allah sepertimana hadis yang dinilai Sahih oleh al-Albaani.

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ , وَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ " .

"Wahai Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendiri. Dengan rahmatMu saya memohon bantuan. Perelokkanlah untuk saya urusan saya kesemuanya. Janganlah Engkau serahkan saya kepada diri saya semata-mata meskipun sekelip mata"

E. Membanyakkan doa dalam solat khususnya di waktu sujud sebagaimana Hadis Sahih Muslim sabda baginda saw

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Maksudnya: "Sesungguhnya hamba berada paling hampir dengan Tuhannya di saat sujud maka banyakkanlah berdoa"

F. Melakukan Qunut Nazilah dalam 5 waktu solat pada rakaat akhir selepas rukuk dan i'tidal. Ia sunat dilakukan apabila berlaku sebarang bencana kepada umat Islam. Nabi saw melakukan Qunut selama sebulan dalam solat 5 waktu apabila para pendakwah yang dihantar oleh Nabi saw dikhianati dan dibunuh oleh beberapa suku Arab.

G. Bole juga berdoa dengan doa yang disandarkan kepada sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Umar r.a. selepas berwudu' dan solat 2 rakaat memohon dipulangkan barang yang hilang sebagaimana Athar yang dinilai Hasan riwayat Baihaqi

اللَّهمَّ رادَّ الضَّالَّةِ هاديَ الضَّلالَةِ تَهدي منَ الضَّلالةِ ردَّ عليَّ ضالَّتي بعزَّتِكَِ وسلطانِكَِ فإنَّها من فضلِكَِ وعطائِكِ

Maksudnya: Ya Allah Yang Maha memulangkan apa yang hilang, Yang memberi petunjuk kehilangan, Engkau memberi petunjuk daripada kehilangan. Pulangkanlah kepada saya apa yang telah hilang dengan keagunganMu dan kekuasaanMu. Kerana ia sebahagian kurniaan dan pemberianMu.

4. Mudah-mudahan berkat usaha semua pihak sama ada pihak berkuasa, rakyat dan keluarga mangsa trajedi kehilangan MH370 segala misteri akan terungkai segera insyallah.

YB Ust Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 13.3.2014; 6.10 pm

2 comments:

Ismail Mat Deris said...

isyarat kemurkaan Allah kpd MAS 1. Berlakunya kerugian MAS sejak bertahun tahun lamanya. 2. Berlakunya kehilangan ini. sebab kemurkaan Allah 1. Walaupun kita mendakwa negara Islam tapi pramugari ya yg tidak menutup aurat. 2. arak dihidang dlm pesawat MAS. 3. Hukuman zalim terhadap Anwar Ibrahim yg menyalahi Hukum Allah Dan Hukum Akal manusia yg sememangnya Bahan buktinya meragukan. Bukan solat hajat yg perlu diutamakan Bahkan bertaubat dulu. Kemudian solat hajat.

Ismail Mat Deris said...

isyarat kemurkaan Allah kpd MAS 1. Berlakunya kerugian MAS sejak bertahun tahun lamanya. 2. Berlakunya kehilangan ini. sebab kemurkaan Allah 1. Walaupun kita mendakwa negara Islam tapi pramugari ya yg tidak menutup aurat. 2. arak dihidang dlm pesawat MAS. 3. Hukuman zalim terhadap Anwar Ibrahim yg menyalahi Hukum Allah Dan Hukum Akal manusia yg sememangnya Bahan buktinya meragukan. Bukan solat hajat yg perlu diutamakan Bahkan bertaubat dulu. Kemudian solat hajat.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...