TERKINI :

Friday, March 14, 2014

Kerajaan tidak tolak kemungkinan pesawat MH370 dirampas, kata Hishammuddin


OLEH ELIZABETH ZACHARIAH
March 14, 2014
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata semua maklumat daripada sumber Amerika Syarikat sedang dikaji. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 14 Mac, 2014.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata semua maklumat daripada sumber Amerika Syarikat sedang dikaji.

Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 Sabtu lepas bertambah mendebarkan apabila pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menolak kemungkinan pesawat itu dirampas.

Operasi misi mencari dan menyelamat pesawat yang membawa 239 penumpang itu kini masuk hari ketujuh.

"Saya tidak boleh menolak kemungkinan itu," kata beliau yang juga merupakan menteri pertahanan dan menambah kesemua maklumat daripada sumber tidak dinamakan dari Amerika Syarikat (AS) sedang dikaji.

"Terdapat banyak komen daripada sumber tidak dinamakan dari AS. Kita tidak akan keluarkan maklumat yang belum disahkan atau disokong pihak berkuasa yang relevan.

"Kita juga tidak mahu memberikan komen yang dilaporkan media memetik sumber tidak dinamakan."

Hishammuddin berkata misi mencari dan menyelamat pesawat itu kini diperluaskan ke sebelah timur Laut China Selatan dan kawasan barat Lautan Hindi.

"Kini masuk hari ketujuh misi mencari MH370.

“Pada masa ini, terdapat 57 kapal dan 48 pesawat terbabit dalam misi mencari. Sebanyak 13 negara terbabit.

"Keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini. Kami menggerakkan usaha mencari berdasarkan semua petunjuk dan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa.

"Kami bersyukur dengan bantuan diberikan rakan-rakan dan jiran-jiran, yang terus membantu kami dengan berkongsi data dan sumber mereka dalam usaha kami mencari MH370," katanya pada satu sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang petang tadi. – 14 Mac, 2014.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...