Selamba jual rokok seludup, cakera padat  
Lelaki ini selamba menjual rokok seludup dan cakera padat cetak rompak.

BALING - Seorang lelaki selamba menjual rokok seludup dan cakera padat cetak rompak secara terbuka di pekan Baling.

Tinjauan mendapati, aktiviti lelaki berusia lingkungan 40-an itu bermula berniaga di situsejak dua minggu lalu.

Menurut sumber, lelaki terbabit turut berniaga di hadapan kedai serbaneka di Batu 42 Baling sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

Penduduk yang tidak ingin dikenali berkata, walaupun pernah dinasihati, lelaki terbabit terus menjual barangan itu secara terbuka.

“Kami penduduk cuma berharap agar masalah ini mendapat perhatian pihak berwajib,” katanya.

Menurutnya, penjualan cakera padat cetak rompak masih lagi berleluasa terutama di pasar malam di sekitar kawasan ini.
“Mereka semakin berani menjual secara terbuka walaupun mengetahui ia adalah perbuatan yang salah.
“Kita berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya.