Pukat rawa kembali diguna  
Lokasi yang didakwa menjadi laluan keluar masuk bot pukat rawa sorong.
 
YAN - Kehadiran bot pukat rawa sorong yang dipercayai menceroboh kawasan perairan Sungai Limau - Tanjong Dawai, dekat sini membimbangkan lebih 100 orang nelayan pantai.

Nelayan mendakwa kehadiran bot pukat rawa sorong itu menjejaskan mata pencarian mereka yang mengaut semua hasil laut tanpa mempedulikan kepentingan nelayan lain.

Penggunaan pukat rawa sorong itu adalah satu kesalahan menurut Akta Perikanan 1985.

Wakil nelayan dikenali Zaini, 61, berkata, kehadiran bot tersebut dikesan sejak dua tahun lalu dan menjadi semakin banyak sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, kejadian itu seolah-olah mereka yang menjalankan kegiatan haram tersebut kebal daripada tindakan undang-undang.

“Sejak tiga bulan lalu, pendapatan kami terjejas teruk. Kami juga terpaksa berhadapan dengan masalah kerosakan pada pukat yang dipasang di kawasan perairan.

“Dulu  kami mampu peroleh pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sehari, tetapi kini nak dapatkan hasil RM50 sehari pun susah,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di jeti nelayan Kampung Sungai Udang yang dipercayai menjadi lokasi utama tempat keluar masuk bot rawa sorong, semalam, sunyi.

Difahamkan, nelayan berkenaan hanya menjalankan kegiatan tersebut pada waktu malam untuk mengelak dikesan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pangkalan Kuala Kedah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu.

“Perkara ini sebenarnya dalam pemantauan Maritim dan kita tahu aktiviti bot pukat rawa sorong ini kembali aktif.

“Terdapat dua lokasi yang dikesan menjalankan kegiatan ini iaitu di perairan Yan dan Sanglang. Kita akan pantau dahulu aktiviti mereka sebelum mengambil tindakan,” katanya.