Penjara dua bulan curi Nescafe RM60  
Mohd Khairul Isham mengaku bersalah mencuri tujuh paket serbuk minuman Nescafe Classic.

SUNGAI PETANI - Bapa kepada dua anak dikenakan hukuman dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana mengaku bersalah mencuri tujuh paket serbuk minuman Nescafe Classic dalam sebuah pasar mini di Baling minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Khairul Isham Md Isa, 29, dari Kupang, Baling, didakwa mencuri serbuk minuman berkenaan lebih kurang jam 4.30 petang di Mini Market Sri Kupang pada 29 Januari lalu.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai menyimpan harta iaitu dengan mengambil tujuh paket Nescafe seberat 100 gram setiap satu.

Mengikut pertuduhan, barangan tersebut bernilai RM60 yang dipunyai pemilik mini market, Go Eng Seng, 37.

Akibat perbuatan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sekiranya didapati bersalah, boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Bagi kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dipenjarakan dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir.

Majistret Manomani Ramanathan meminta pertuduhan dibacakan semula terhadap tertuduh sebaik sahaja pengakuan bersalah dilakukan.

Tertuduh kemudian mengakui fakta kes dan membuat pengakuan bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah berpuas hati dan menerima pengakuan bersalah tertuduh dan pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Tertuduh kemudiannya meminta mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia seorang pekerja kontrak dan mempunyai dua anak.

Apabila ditanya, tertuduh menjelaskan tujuan mencuri Nescafe adalah untuk dijual dan mendapatkan wang bagi menebus telefon bimbit yang telah dihantar ke kedai untuk dibaiki.

Nur Anida bagaimanapun meminta mahkamah memberikan hukuman yang setimpal ke atas tertuduh kerana barangan dicuri bukanlah untuk kegunaan sendiri selain memohon agar barang kes dikembalikan kepada pemiliknya.

Majistret Manomani menjatuhkan hukuman dua bulan penjara dari tarikh jatuh hukum dan mengarahkan barangan curi dikembalikan.