TERKINI :

Thursday, February 6, 2014

Jangan layan Nalla Karupan

oleh Aspan Alias


Penamaan calon bagi PRK Kajang akan diadakan pada 11hb Mac dan hari mengundi telah ditetapkan pada 23hb Mac nanti. Itu adalah keputusan yang diambil oleh SPR dalam mesyuarat mereka pagi tadi. Berbeza dengan PRK yang lepas-lepas PRK kali ini akan diadakan agak lama sedikit selepas kerusi kawasan itu dikosongkan oleh penyandangnya. Tetapi itu tidak ada hal kerana ia tetap berada dalam lingkungan 60 hari selepas kekosongan kerusi itu seperti yang telah ditetapkan oleh perlembagaan negara.

Setakat ini kita belum ketahui siapa yang akan dinamakan sebagai calon bagi BN, tetapi kita semua telah difahamkan yang Ketua Pembangkang DSAI akan bertanding sebagai calon dari Pakatan Rakyat. Tetapi apa pun kita berharap PRK kali ini bukanlah pilihanraya yang berunsurkan pilihanraya yang tidak beretika dan ia menjadi pilihanraya yang mampu menunjukkan sikap kematangan yang tinggi. Boleh berkempen tetapi berjanjilah ia hanya sebagai tindakan untuk mengisi kekosongan kepada kerusi N23 Kajang itu sahaja.


Kerusi itu dimenangi oleh Pakatan dalam pilihanraya yang lalu, maka jika kerusi itu kembali kepada parti yang menyandang pun ia merupakan satu keputusan yang tidak mengejutkan. Ia akan hanya menjadi kejutan jika ketua pembangkang itu tewas kerana beliau adalah calon dikenali semua orang dalam negara ini. Bagi BN tidak salah untuk berusaha untuk mendapatkan kemenangan, tetapi orang ramai berharap pilihan kali ini biarlah didasarkan kepada isu yang bersangkutan dengan isu kenegaraan dan bukannya membawa kecenderungan untuk berkempen menghentam peribadi yang tidak beretika.

Apa yang kita dengar semalam agak merunsingkan apabila Nalla Karupan memberikan tawaran beliau untuk menjadi calon bagi BN untuk mengelakkan diri beliau dari terjun sebagai calon bebas. Nalla bukan calon yang serius dan beliau telah tunjukkan sikap tidak matang beliau dalam persidangan media beliau semalam.

Beliau mendabik dada yang beliaulah calon yang terbaik untuk menentang Anwar Ibrahim kerana beliau mengaku segala rahsia Anwar ada di dalam poket beliau. Kita tidak boleh mendengar kata-kata Nalla ini kerana beliau mahu menjadi calon itu untuk menelanjangkan musuh peribadi beliau itu yang pernah menjadi kawan rapat beliau suatu ketika dahulu.

Tindakan Nalla itu hanyalah tindakan yang tidak bermoral kerana niat beliau bukan untuk kepentingan negara tetapi hanya keuntungan untuk peribadi beliau semata-mata. Kita yang sibuk membuat ‘self searching’ sebegitu lama tentang masalah negara tetapi beliau memberikan fokus untuk kepuasan kehendak hati beliau semata-mata.

Apa dia yang beliau katakan rahsia Anwar yang berada dalam poket beliau itu? Jika itu cara beliau berkempen jika menjadi calon tentulah beliau akan menelanjangkan perkara buruk yang beliau sama-sama lakukan semasa bersahabat dahulu. Beliau sendiri lupa dengan membongkar rahsia yang mereka lakukan ia juga akan membongkar perbuatan beliau sendiri.

Kita tidak tahu apa pegangan Nalla Karupan itu, tetapi tindakan menzahirkan aib sendiri itu sudah semestinya tidak melayakkan beliau diyakini untuk menjadi wakil kepada rakyat dan menjadi pemimpin kepada rakyat biasa seperti kita semua ini.

Sepatutnya jika beliau telah melakukan apa yang beliau akui dilakukan bersama Anwar, adalah menjadi tugas moral beliau untuk menutupi aib mereka. Membuka aib sendiri itu lebih buruk dari membuka aib orang lain, walaupun kedua-duanya adalah sama kategorinya.

Saya berharap Nalla menjadi dewasa sedikit kerana adalah tidak adil jika perkara yang dilakukan bersama sebelum ini dijadikan isu terhadap kawan yang kini menjadi lawan itu. Jika Nalla boleh lakukan kepada Anwar tidak ada sebab beliau tidak boleh lakukan kepada orang lain.

Apa yang kita harapkan agar BN carilah calon yang lebih beretika untuk menjadikan pilihanraya kecil ini sebagai pilihanraya yang serius untuk kepentingan negara dan bukannya untuk dijadikan pesta mengaibkan orang yang pernah memberikan beliau makan dan bersama-sama menikmati apa yang akan dilambakkan oleh Nalla jika beliau menjadi calon BN dalam PRK ini.

Kepada kepimpinan BN, elok diambil perhatian untuk menjaga keperibadian sebagai parti yang memerintah. Lagi pun keputusannya adalah ‘predictable’ dan tidak payah dijadikan PRK ini sebagai PRK yang hangar- bingar dengan isu peribadi.

Niat dan tujuan Nalla dalam PRK ini tidak dapat di terima oleh sesiapa yang bermain dengan demokrasi moden kini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...