Ruang sempit jadi tempat tidurRuang sempit jadi tempat tidur
Ruang sempit jadi tempat tidur
 
ALOR SETAR - Ketika kita asyik lena dibuai mimpi di kediaman masing-masing, sebenarnya masih ada gelandangan di sekitar bandar raya yang menjadikan ruang sempit sebagai tempat beradu mereka.

Beberapa kawasan seperti gazebo, kaki lima, kerusi panjang mahupun tempat menunggu menjadi alas mereka berteduh setiap hari, meskipun terpaksa berdepan cuaca tidak menentu dan kesejukan malam.

Difahamkan, kebanyakan gelandangan mula kelihatan pada waktu malam di kawasan tertentu seperti Pekan Cina, Shahab Perdana dan Pekan Rabu untuk merehatkan badan mereka.

Tinjauan di sebuah gazebo sekitar kawasan Hentian Bas Pekan Rabu, dekat sini, mendapati dua, tiga gelandangan tidur, manakala yang lain kelihatan sedang berhenti melepaskan penat mereka.
Sewaktu melalui kawasan terbabit, kelihatan mereka tidur beralas tangan sendiri, manakala beberapa peralatan seperti bantal, kain pelikat dan selimut jelas kelihatan di atas alang gazebo itu.

Mereka didakwa tidak hanya menjalani kehidupan serba kekurangan, sebaliknya juga kelihatan tidak terurus, sedangkan nasib mereka perlu diberi perhatian sewajarnya.


Masih ada ambil peduli!

Bagaimanapun, kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dilalui golongan memerlukan ini, nampaknya masih dipedulikan apabila mendapat perhatian kumpulan sukarelawan ‘Kindness’.

Koordinator projeknya, Mohd Azrul Mohd Razak, 29, berkata, sebanyak tiga projek ‘Feed the Homeless’ dilakukan di sekitar bandaraya ini sepanjang tempoh dua bulan untuk membantu insan tidak berkemampuan.

“Malah, maklum balas diterima pihak kami baik. Setiap kali, aktiviti pemberian makanan percuma dilakukan, mereka kesemuanya kelihatan mereka gembira menerima sumbangan ini,” katanya.

Katanya, ada juga penerima makanan terbabit terharu apabila melihat pihaknya turun padang menemui mereka, kerana merasakan masih ada mengingati dan ambil berat mengenai keadaan mereka.


Dibuang keluarga

“Kami turun padang kira-kira jam 12 tengah malam ke atas, maka kebanyakannya sudah tidur. Namun, segelintir gelandangan yang masih belum tidur biasanya sudi berkongsi kisah hidup mereka,” katanya.

Hati sebak tatkala mendengar perkongsian cerita segelintir gelandangan yang mendakwa terpaksa menumpang tidur di merata lokasi termasuklah kerusi dan kaki lima akibat dibuang keluarga sendiri.

Lebih menyedihkan, ada mendakwa dibuang keluarga sendiri, malah memaklumkan masih tidak mempunyai tempat tinggal sendiri hingga memaksa diri mereka berteduh dari hujan dan panas di merata-rata tempat.

Katanya, seorang pak cik memaklumkan kepada dirinya bahawa pihak berkaitan ada turun padang menyiasat keadaan mereka, namun hairannya golongan gelandangan ini masih berada di tempat serupa.

“Sesetengah gelandangan sememangnya enggan dimasukkan dalam rumah kebajikan. Namun, pak cik itu memberitahu kami, kalau boleh dirinya berharap dimasukkan ke rumah orang tua agar kehidupan lebih terbela,” katanya.

Katanya, dia tidak hanya mengharapkan nasib gelandangan di bandaraya ini mendapat perhatian mana-mana pihak berkaitan, malah sentiasa mendoakan kebajikan golongan tidak berkemampuan ini terus terbela.