TERKINI :

Monday, February 24, 2014

Batalkan tindakan terhadap guru kritik PBS

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia digesa membatalkan serta-merta semua tindakan tatatertib terhadap sekumpulan guru yang mengkritik sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebelum ini agar ia selaras dengan keputusan kerajaan menggantung pelaksanaannya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata tindakan tatatertib tersebut adalah tidak wajar sambil menyifatkannya sebagai tindakan jahat dan pengecut untuk menghalang guru-guru membuat kritikan yang munasabah dalam perkhidmatan pendidikan.

“Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi perhatian peribadi beliau untuk memastikan semua tindakan tatatertib terhadap Nor Izzat dan guru-guru yang mengkritik PBS dibatalkan serta-merta.

“Pelaksanaan PBS telah menyebabkan guru-guru menjadi seperti kerani pencatat data, memaksa mereka bangun pada jam 2-3 pagi untuk memasukkan markah pelajar berikutan masalah jaringan online,” katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan guru-guru yang mengkritik PBS sepatutnya diberi ruang oleh kementerian terbabit dalam penilaian terhadap sistem tersebut sebagai usaha penambahbaikan mengubah sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu, Kit Siang mendesak Muhyiddin mengemukakan laporan lengkap kepada Parlimen berkenaan permasalahan pelaksanaan PBS dalam sidang Dewan Rakyat, Mac depan.

Minggu lalu, Ketua Jawatankuasa Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari diarah bertukar sekolah serta merta berkuat kuasa pada 17 Februari.

Beliau yang merupakan guru di sebuah sekolah di Jerantut dilaporkan media telah mendapat surat pertukaran sekolah daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Khamis lalu.

Katanya, pihak JPN tidak menyatakan sebab utama pertukaran sekolah tersebut berlaku.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...