Mukhriz dikritik lambat rancang pembangunan ALOR SETAR – Pas Kedah menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai seorang menteri yang lambat bertindak untuk merancang pembangunan di negeri ini selepas mengambil alih pentadbiran daripada PR pada PRU13 lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno dan BN tidak boleh buat perancangan seperti lima tahun kerajaan PR perintah di Kedah.

“Ini sudah nak masuk hujung tahun, tidak ada apa yang dibuat oleh Mukhriz. Dia kata kena ambil masa sikit. Saya ingat bila orang muda jadi menteri besar, cepatlah sikit dia bertindak. Tapi dia kata perlukan masa pula. Ini membuktikan dia lemah.

“Kita kerajaan PR pada sebelum ini baru setahun perintah, kita sudah ada perancangan. Padan la kita baru setahun perintah dan tidak ada pengalaman mentadbir. Berbanding Mukhriz yang pernah jadi menteri dan ahli parlimen, patutnya dia ada idea yang bernas. Tapi tak ada apa yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah sempena Mini Karnival Anak Muda di pekarangan Kompleks Pas Pokok Sena, di sini, kelmarin.