NONEULASAN Pepatah mata pena lebih tajam dari mata pedang mungkin tidak sesuai menggambarkan situasi yang menimpa The Heat - akhbar mingguan berbahasa Inggeris yang digantung penerbitannya baru-baru ini.

Akhbar itu jadi sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas paparan berita muka depan yang menayangkan fakta pemborosan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, menjadi siulan.

Maka, gerombolan KDN pun - tanpa teragak-agak tapi terangguk-angguk patuh menjalankan perintah. The Heat yang baru setahun jagung digantung penerbitannya.

Aneh, ketika undang-undang berkaitan penerbitan fitnah berserakan termaktub dalam buku perundangan, penggantungan tetap jadi pilihan paling mudah.

Tentu, penggantungan tidak memerlukan semakan fakta di mahkamah. Kerajaan mungkin belajar dari kemenangan Malaysiakini dalam isu permohonan permit. Mereka tidak mahu kalah lagi. Kerajaan mahu menang tanpa berlawan hujah.

Lebih-lebih lagi, kesahihan fakta mungkin lebih terserlah jika saman dilakukan. Jadi, pedulikan fakta, yang penting gantung dulu - macam kes jenayah sebelum ini - tembak dulu, kemudian cari bukti.