
Ada suatu perkara menarik dalam proses pengundian parti Umno Sabah yang baru selesai. Jika kebiasaaanya kita mendengar kejadian undi hantu atau penambahan kertas undi, dalam pemilihan Umno baru-baru ini dikatakan ada “kertas undi lesap”.
Ini dilaporkan oleh beberapa bekas calon dari beberapa bahagian parti itu yang mendakwa kejadian “kertas undi lesap” itu telah menggagalkan mereka daripada terpilih sebagai ahli jawatankuasa bahagian.
Seorang bekas calon dalam pemilihan bahagian Umno yang hanya mahu dikenali sebagai Amat memberitahu FMT, nampaknya memang ada pihak yang “pakar” membuat perkara tersebut bagi meminda keputusan para perwakilan.
“Buat masa ini hal ini belum ketara tetapi jika tidak dibendung dari sekarang, saya rasa ia akan berlarutan dan akan cuba dibuat orang lagi pada pemilihan Umno yang akan datang.
“Jangan kita hairan, kertas undi hilang akan berlaku dalam pilihanraya umum juga. Jadi daripada menambah kertas undi, apa yang berlaku ialah kertas undi hilang bagi calon tertentu,” katanya sambil menambah ia boleh dilakukan ketika pengiraan undi dalam keadaan huru-hara.