ALLAH
RAMAI minta saya tulis artikel tentang isu nama ALLAH yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak muslim dengan sesetengah pihak Kristian.

Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.

Hanya Di Sini

Isu kalimah ALLAH ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia. Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w memang menggunakan perkataan ALLAH merujuk kepada Tuhan.

Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w juga guna nama ALLAH.

Bapa Nabi Muhammad s.a.w bernama Abdullah yang bermaksud hamba ALLAH. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w sebagai Rasulullah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan ‘Allah’.

Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ‘ALLAH’ sejak zaman silam.