Cucu ke-9 diberi nama sempena Azizan  
Cucu ke-9 dalam keluarga bekas Menteri Besar Kedah, 
Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak tidak sempat menatap wajah dua cucu baru yang dilahirkan ketika ditempatkan di wad ICU, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan seminggu selepas kematiannya.

Isterinya, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, dua ‘orang baru’ itu dianggap penyeri bagi keluarga yang masih bersedih dengan pemergian Allahyarham.

Menurutnya, cucu lelaki anak kelimanya diberi nama sempena Azizan memandangkan mereka sekeluarga baru kehilangan Allahyarham, tambahan pula kebanyakan nama anak dan cucu diberikan oleh Allahyarham.

"Anak-anak selalu rujuk kepada Allahyarham untuk menamakan anak agar mempunyai pengertian yang baik. Selepas ketiadaannya, mereka sepakat menamakan cucu lelaki anak pasangan Muhammad Rafi’iy dan Cik Nor Farahana Che Deris sebagai Azizan,” katanya.