Model tunggal pondan, tarik perhatian ramai  
Rani cuba memberi aksi terbaik walaupun gugup.

ALOR SETAR - Tiada siapa mampu menyangka model berkulit sawo matang yang sedang mengenakan sepasang busana pengantin berwarna biru rekaan pereka tempatan ini akan tampak cantik dan bergaya yakin di pentas fesyen hingga menjadi perhatian.

Malah, gerak gayanya berjalan di pentas peragaan tidak kalah dengan kesemua peserta perempuan lain, walaupun dikatakan baru pertama kali menjadi model pentas peragaan hingga setiap langkah peserta unik ini seakan-akan memukau dan menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, dia yang hanya dikenali sebagai Rani, 30, ini merupakan peserta tunggal daripada golongan pondan daripada keseluruhan 11 peserta yang menyertai sebuah pertandingan dalam Festival Kerja Kahwin Utara 2013 di Ukir Mall, dekat sini, semalam.