Tak hirau segala cemuhan 
Azmi dan Halija tidak kisah pandangan serong masyarakat terhadap usaha mereka melindungi haiwan-haiwan itu.
ALOR SETAR - Atas dasar belas kasihan, sepasang suami isteri di sini sanggup membela kira-kira 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing terbiar di kabin milik mereka.

Bekas kontraktor, Md Azmi Ismail, 55, dan isterinya Halija Idris, 65, membawa balik haiwan yang sakit, cacat, tua dan mengalami pelbagai masalah lain untuk diberi penjagaan sebaik mungkin.

“Dulu, kami hanya memelihara kira-kira 60 kucing sahaja. Namun, ketika itu kami tidak membela anjing berikutan tinggal di kawasan perumahan, sebaliknya hanya memberi makanan dan merawat anjing terbiar.

“Namun, atas dasar prihatin dan sayang pada haiwan berkenaan, hati saya terdetik untuk menyediakan tempat berteduh buat mereka. Jadi saya berpindah ke kawasan lapang di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini. Lantas, membawa pulang dan merawat anjing terbiar ini,” katanya.