Azizan ALOR SETAR - Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Syawal, namun sambutan pastinya tiada makna tanpa orang tersayang di sisi, terutama ketika ahli keluarga tidak dapat meraikan bersama seperti lazimnya.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang masih menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak 7 Mei lalu, kini bertambah sihat namun masih belum dibenarkan pulang ke Alor Setar.

Isteri beliau, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, pihaknya masih menanti maklum balas doktor yang merawat Azizan, berhubung perpindahan itu.

“Buat masa ini, kami akan beraya di sini jika Azizan perlu menerima rawatan di HPP, jika sebaliknya, saya akan umumkan kemudian,” katanya.

Menurutnya, sepanjang Ramadan ini, Azizan dilihat lebih bersemangat dan sering mengajak ahli keluarga berbual, namun mereka cuba menghalang beliau daripada berbuat demikian kerana bimbang beliau keletihan.

“Azizan sering tanya hal anak-anak terutama cucu berusia empat bulan yang menetap di Sungai Petani. Beliau ada kata rindu pada riuh rendah anak cucu seperti di rumah sebelum ini,” katanya.