Lupa tutup mesin ATM lepas selenggara
Keadaan mesin ATM yang terbuka yang terlupa ditutup oleh petugas syarikat keselamatan di bank berkenaan. - Foto Sinar Harian
 
GEORGETOWN - Petugas sebuah syarikat keselamatan terlupa mengunci semula penutup sebuah mesin deposit tunai (ATM) menggemparkan orang ramai yang ingin mengeluarkan wang di situ, malam semalam.

Difahamkan, petugas itu dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan bank berkenaan yang terletak di Jalan Datuk Keramat kerana mahu ke cawangan lain untuk memproses penyelenggaraan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, siasatan polis di lokasi mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan ia berpunca dari kesilapan petugas syarikat keselamatan terbabit.

Beliau berkata, kejadian disedari anggota polis yang kebetulan membuat pemeriksaan dan rondaan di kawasan bank ternampak penutup mesin terbabit dalam keadaan terbuka kira-kira jam 10.30 malam.