Menteri: Dakwat kekal guna pewarna makanan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjelaskan bahawa bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 digantikan dengan bahan pewarna makanan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan.

NONE"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan. Ianya diimport daripada negara luar," katanya dalam satu jawapan bertulis kepada MP DAP Segambut, Lim Lip Eng.

Shahidan juga berkata tahap ketahanan dakwat berkenaan berbeza mengikut individu.

Ia bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk menghilangkan dakwat kekal berkenaan, katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak RM400 juta bagi kos perbelanjaan pilihan raya yang lalu.

Lim kemudiannya menjadikan jawapan bertulis itu sebagai satu bahan jenaka apabila menulis di Twitter bahawa dakwat kekal kini "boleh dimakan".