Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata pergerakan itu sedia menyambut kritikan ke atas PAS, seperti yang dilancarkan oleh pemimpin sejawatannya dalam PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam kongres parti tersebut hujung minggu lalu.

Nasrudin berkata, pihaknya sedia menerima apa jua kritikan terhadap PAS dan kepimpinannya daripada pelbagai pihak demi mendewasakan parti Islam itu.

NONEBagaimanapun, beliau sangat bersetuju setiap kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar dan PAS akan akur jika teguran itu mempunyai asas dan hujah yang jelas untuk melakukan perubahan.

"Apatah lagi jika sesuatu kritikan itu dibuat secara terbuka. Ia boleh mencipta prasangka dan mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawab balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan persepsi dan memurnikan prasangka.

"Contohnya apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden PAS, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli PAS membuat pencerahan dan mempertahankannya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Shamsul Iskandar yang antara lainnya membangkitkan mengenai satu kritikan presiden PAS ke atas keperibadian calon parti tertentu yang tidak dinamakan.