NONEPolis hari ini merekod keterangan Naib Presiden PKR Tian Chua berhubung kenyataannya yang mendakwa insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, sebagai sandiwara Umno.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata keterangan Tian Chua itu direkodkan petang ini di ibu negara oleh sepasukan polis kontinjen Johor bagi membantu siasatan mengenainya.

"Selain Tian Chua, polis hari ini juga merakamkan keterangan dua editor Keadilan Daily dan wartawan dari the New Straits Times Press di ibu negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Baharu.

Mohd Mokhtar berkata polis sehingga semalam menerima 230 laporan dari seluruh negara oleh orang ramai dan badan bukan kerajaan berikutan rasa tidak puas hati mengenai kenyataan Tian Chua.