NONEPenganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat berkata pengurusan stadium bersetuju dengan cadangan mereka untuk menempatkan limpahan peserta di kawasan padang memandangkan stadium itu hanya berkapasiti 30,000 tempat duduk.

Anggota jawatankuasa penganjur, Hishamuddin Rais berkata, pihak pengurusan stadium mempersetujui perkara itu apabila ia dibangkitkannya dalam pertemuan mereka hari ini.

"Ya, mereka bersetuju," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bercakap kepada pemberita sebelumnya aktivis politik itu berkata pintu stadium juga akan terus dibuka semasa acara tersebut dan penganjur menyediakan pembesar suara untuk peserta yang berada di luar stadium.
"Kami difahamkan pintu stadium terus dibuka, kalau kapasiti melebihi, kami tidak akan membenarkan orang ramai masuk... Kami akan pasang alat pembesar suara di luar stadium," katanya lagi.

Setuju bayar deposit 

Tambahnya, pihak penganjur dalam pertemuan itu turut menyatakan kesediaan untuk membayar deposit RM75,000 bagi menyewa stadium berkenaan.

"Kita setuju, mana boleh tidak setuju, kita menyewa tempat orang," katanya sambil menyifatkan perbincangan dengan pihak pengurusan stadium berjalan lancar.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya bersikap sopan dan tidak melakukan kerosakan harta benda yang mempunyai nilai keasliannya memandangkan tersebut dijaga oleh Merdeka Heritage Trust.