TERKINI :

Sunday, November 3, 2013

Sungai Limau tidak sehangat di stadium Shah Alam

Mohd Sayuti Omar,

TINJAU SG LIMAU                                                                               
Banjaran gunung Jerai yang tenang dan santai.
Memasuki ke Sungai Limau dari simpang Gurun menerusi Guar Chempedak kita akan dihadangi dek satu pemandangan indah gunung Jerai (yang setinggi 968 meter daripada paras laut) yang terlentang tenang di keliling lautan sawah menghijau di sekitarannya. Setiap sudut pemandangan di banjarannya akan menarik perhatian dan mengembalikan nostalgia di zaman kanak-kanak bagi kita si anak kampung.

Anak bandar dan golongan bangsawan tidak akan terusik apa-apa melihat panorama semula jadi itu melainkan ia mungkin mencemuhkan.

Apa lagi serentak dengan ketibaan saya itu senja sudah mula menyongsong melabuhkan diri mahu memberi laluan kepada malam. Ini menambahkan lagi keadaan menjadi damai dan mengugah perasaan. Ia membawa satu pentafsiran yang cukup mengesankan jiwa kehambaan saya.
Air mata saya menitis merenung tali air ini.
Hijauan anak-anak padi sedang membesar memberi satu lagi kedamaian semulajadi. Tumbuh besar itu juga adalah lambang harapan dan harapan rakyat Sungai Limau. Pemandangan bak dalam sebuah lukisan kanvas besar itu seakan meletakkan diri saya menjadi salah satu objek lukisan. Indah, permai dan damai serta menggamit seribu rasa dan daya tak terucapkan. Terasanya ingin saya kekal bersama kedamaian itu tanpa diganggu apa-apa elemen kemanusiaan lain.

Ketenangan banjaran itu memberi gambaran begitulah juga ketenangan pilihan raya kecil DUN 20 Sungai Limau yang akan berlangsung esok, 4 November. Kalau tidak difokos kepada tujuan kemampiran kita ke situ, kita tidak akan terasa bahawa kawasan itu, yang rakyatnya kini sedang membuat perhitungan untuk memilih dan mencari pengganti kepada wakil mereka Azizan Razak yang telah tiada. Al Fatihah. Kesayuan dan kedamaian permandangan di Sungai Limau juga mencengkam ingatan dan rasa rindu kepada arwah.

(Entah di satu sudut pada satu ketika saya seakan terdengar sapaan Allahyarham; "hanga apa habak Sayuti?" Saya tertunduk melempar di kejauhan ke sebuah parit dan menitis air mata apabila mengenang nasib arwah yang dipersendakan musuh dan juga diejak rakan dan kawaannya sendiri. Al Fatihah untuk arwah sekali lagi).

Dan, di Sungai Limau waktu ini dua parti Melayu sedang bertarung untuk meraih sokongan rakyat. Bahawa di dalam perang syaraf di Sungai Limau kini ada individu tertentu di Kedah, para pemuka parti sedang diuji daya keredibiliti mereka menerusi pilihan raya berkenaan. Pilihan raya itu bolehlah disifatkan sebagai ujian pertama buat Mahfuz Omar dan Mukhriz Mahathir di mana mereka berdua adalah ketua parti masing-masing, dan berkebetulan pula pilihan raya kecil Sungai Limau adalah ujian pertama buat mereka di gelangangan politik sejak bergelar sebagai pemimpin utama. Menang kalah pilihan raya itu sedikit sebanyak memberi kesan buat mereka.

Ketenangan ini sesungguhnya merujakan saya kerana suasana pilihan raya itu agak bebeza dengan pilihan raya kecil yang lain. Sepanjang jalan dari Titi Serong untuk ke Sungai Limau dan di sepanjang jalan besar Sungai Limau, Dulang Kecil, Dulang Besar dan lain, tidak banyak poster kedua-dua parti yang dipasang. Tidak ada pertaruhan poster 'gila-gilaan' di sini seperti mana berlaku dalam pilihan raya lain. Keadaannya santai dan rileks sahaja mencerminkan pertandingan anak beranak.
Salah satu poster besar calon BN Sohaimi.
Gelagat manusianya juga demikian, tidak mengada-ngada. Semuanya dapat mengawal perasaan masing-masing. Dalam pemerhatian saya tidak ada sebuah kereta yang dipasang bendera parti pun ditemui seperti kebiasaanya. Tidak banyak kereta yang dibaluti dengan wajah calon atau lambang parti yang kadang kala cara pemasangannya boleh menganggu pemanduan dan melanggar peraturan JPJ.

Begitu juga tidak ada rumah yang menampal poster dacing atau bulan di dinding hadapan rumah mereka untuk memberi pertunjuk dan menunjukkan mereka adalah penyokong tegar kepada sesuatu parti. Di sepanjang Sungai Limau hanya sebuah rumah sahaja memasang bendera dacing yang sudah agak lusus. Sikap dan budaya postitif ini juga menyebabkan semua rumah pengundi boleh dilawati oleh sesiapa sahaja. Ada khabar mengatakan sesebuah rumah sampai dikunjungi sembilan kali oleh orang berbeza.

Gambaran ini memberi rasa pilihan raya kecil itu dingin dan dihadapi dengan seadanya sahaja oleh rakyat Sungai Limau. Ada beberapa sebab yang dikutip kenapa berlaku demikian. Antaranya pilihan raya itu tidak memberi apa-apa siginifiken besar kepada mana-mana pihak, baik ia kalah atau menang. Justeru ia tidak mendesak rakyat untuk melakukan aksi lebih dari membuang undi sebagai satu kewajiban demokrasi. Tidak perlu kepada pergaduhan dan pertengkaran, herdik mengherdik, makin hamun dan sebagainya hanya untuk mengganti Allahyarham Azizan Razak sebagai wakil mereka. Ia boleh dilakukan secara 'musyawarah politik'.

Berdasarkan situsi dan realiti itu saya merasakan peratus yang keluar mengundi pada 4 November nanti menurun berbanding dengan peratusan pengundian semasa pilihan raya kecil lalu sebanyak 89.4%. Dijangka peratusan keluar mengundi kali ini sekitar 80% sahaja. Sebabnya kerana tidak ada faktor mendesak yang besar.

Justeru implikasi dari keadaan ini ia memberi sedikit kejutan. Misalnya kalau peratusan keluar mengundi tinggi hingga mencecah 95% mungkin sesuatu tidak kena sudah berlaku. Saya tidak mahu menghuraikan apa yang tidak kena itu di sini tetapi mungkin ia akan dijelaskan oleh pihak yang bertanding selepas pilihan raya kelak.

Ketenangan atau kesengajaan pilihan raya kecil itu juga ditambahi dengan sikap dan budaya orang Kedah dalam berpolitik. Gaya dan keperihatinan politik orang Kedah berbeza dengan orang Kelantan yang sudah boleh dianggap politik dan pilihan raya sebagai darah daging dan 'makan minum' seharian. Kesibukan mereka (orang Kedah) untuk mencari nafkah hidup sebagai petani dan nelayan menyebabkan mereka pandang acuh tidak acuh saja kepada pilihan raya.
Ini pula poster gergasi calon Pas Azam.
Boleh jadi juga pengalaman dan sejarah dilalui mereka merasakan sudah sampai masanya untuk tidak begitu gilakan berpilihan raya sehinggakan menjejaskan hubungan kekeluragaan dan melakukan pembaziran hanya kerana melayan sebuah hobi seperti acara melaga lembu itu. Tafsiran bahawa politik seakan jihad fisabililah agak sudah berkurangan. Dalam kata lain mereka sudah memahami personafikasi politik.

Demikian sejarah dan peristiwa sebelum ini di mana kandati terlalu ghairah kepada politik tetapi tidak banyak mengubah nasib mereka, ini menyebabkan mereka tidak perlu terlebih ghairah. Mungkin mereka sudah mangli dengan janji-janji dan retorik pilihan raya ini menjadikan pilihan raya kecil Sungai Limau itu tidak begitu mustahak dan tertekan buat mereka.

Boleh jadi juga beberapa peristiwa berdarah yang berlaku semasa pilihan raya atau disebabkan emosi politik berlebihan yang pernah berlaku di negeri itu sebelum ini menjadikan mereka insaf dan berwaspada. Kejadian semasa pilihan raya kecil Lubuk Merbau satu masa dulu yang meragut satu nyawa gara-gara pergaduhan atau peristiwa Memali 1985 yang meragut 14 nyawa mungkin memberi pengajaran dan kesan kenapa mereka harus tidak perlu 'dering' dalam berpilihan raya.

Sumbatan berbagai janji dan retorik politik yang mereka lalui selama ini juga mengajarkan mereka dan memahami mereka kepada hipokrasi politik. Mereka sudah faham dengan sifat dan konotasi politik. Orang politik hanya berjanji untuk mengubah nasib mereka (rakyat), tetapi yang terubah tidak sampai suku daripada apa dijanjikan sebaliknya yang ketara berubah ialah nasib calon yang menang itu sendiri. Faktor inilah yang menjadikan mereka fasif mengenai pilihan raya.

Sikap dan budaya ditunjukkan orang Sungai Limau khasnya dan orang Kedah amnya sesuatu yang baik dan boleh ditirukan. Ia boleh dijadikan modul baru. Mungkin orang politik ekstrem tidak menyukainya tetapi sebagai rakyat yang mahukan kesedarhanaan dan tidak menjadi hamba kepada nafsu politik sikap dan budaya sedarhana itu adalah baik.

Keadaan dan realiti itu menyebabkan tidak banyak syptom atau indikator dilihat untuk meramalkan parti mana yang menang. Sikap dan pembawaan masyarakat Sungai Limau tidak mudah untuk dicamkan kepada warna atau lambang apa yang mereka suka. Cuma apa yang boleh dilakukan kini memerhati apa yang ada di atas kertas sahaja serta menilai dakwaan-dakwaan kedua-dua pemimpin mengenai harapan mereka esok.

Apa pandangan kita? Di atas kertas Pas dilihat akan menang. Pemimpin mereka juga membuat andaian atau ramalan akan menang walaupun dengan majoriti menurun. Tetapi ramalan itu tidak kemas kerana terdapat juga arus bawahan yang bergerak menandakan ada peralihan pengundi kali ini yang tidak mudah terselak dan difahami. Slogan hijrah yang dicanangkan oleh UBN yang menjadi tag line kempen Mukhriz dikatakan ada reaksi dari rakyat. Pertukaran kepimpinan Umno Kedah kepada anak Mahathir, Mukhriz itu membawa semangat baru kepada orang Kedah khasnya di kalangan anak-anak muda.

Demikian juga beberapa isu yang dimainkan UBN misalnya mengenai kerjasama Pas dengan DAP dan PKR, isu-isu sabitan kalimah Allah dan sebagainya pula mendapat tarikan pengundi saluran 1 dan 2. Golongan ini dikatakan bakal memberi sedikit masalah kepada Pas. Kemungkinan mereka kekal dengan Umno dan berjaya menarik sebagai tambahan apabila sogokan wang menjadi luar biasa menjelang tengah malam ini.

Pun begitu menurut kajian dibuat oleh sebuah pengkaji bebas masih memberi peluang kepada Pas menguasai pilihan raya itu dengan kedudukan 50% hingga 55% sahaja. Angka ini sangat kecil perselisihannya, cuma beza 5%. Lantaran itu jika berlaku sesuatu yang dramatik tidak mustahil kedudukan angka ini akan bertukar sebaliknya. Sama ada Pas atau UBN menang dijangka majoritinya tidak akan melebihi 500 undi. Angka itu juga menjadi sasaran pemimpin Pas. Namun Pas sebenarnya masih rezeb mengenai angka sebenar mereka. Dari maklumat dalaman Pas tetap yakin akan menang dengan majoriti lebih 1,000 undi.

Sehingga kini di pihak UBN tidak membuat apa-apa ramalan mengenai peluang mereka melainkan dengan mengatakan ada peluang dan insya-Allah. Seorang pemimpin Umno Kedah bila ditanya macam mana peluang Umno hanya mengatakan; ada harapan tetapi Pas berusaha bermati-matian untuk menang. Beliau juga menyebut Umno juga ada masalah dalaman? Nada dan ayat itu sudah dapat diagkkan apakah maksudnya.

Mungkin mereka menyedari majoiri besar diperolehi Pas menerusi Azizan Razak lalu sebanyak 2,747 sukar untuk mereka ditempohi. Selalunya di dalam pilihan raya kecil pihak parti kerajaan akan menang dan mempertahankan kerusinya. Hakikat yang mungkin dilupai oleh banyak pihak di Sungai Limau itu bahawa kedudukan Pas di Kedah hari ini bukan kerajaan tetapi pembangkang. Dari sudut tradisi dan pengalaman itu parti kerajaan mengatasi parti pembangkang dari apa juga aspek.

Pas hanya berpegang kepada legasi yang Sungai Limau adalah kubu mereka. Itu saja. Pas tidak memilih kekuatan dan kelebihan tambahan fizikal dan material lain. Perkara yang kena sedar UBN baru sahaja menumbangkan kerajaan Kedah enam bulan lepas. Semangat atau aura kejayaan masih bergelora di dalam jiwa rakyat Umno Kedah dan ia tidak mustahil sedikit sebanyak memberi kesan di Sungai Limau.  Manakala pemimpin mereka Mukhriz pula yang kalah dalam pertandingan naib presiden Umno berhajat menebus kekalahannya dengan pilihan raya berkenaan.

Justeru situasi itu tidak bermakna Pas harus merasa lega dan menganggap kemenangan dalam tangan mereka hatta majoriti diraih sebelum ini besar. Banyak pengajaran masa lampau boleh diambil dan dijadikan iktibar. Sesebuah kubu kuat buka tidak boleh ditembung. Manakala sokongan zahir juga tidak memberi tafsiran Pas kuat. Memanglah sambutan terhadap ceramah dan penerangan di pihak Pas dominan berbanding dengan Umno.

Saya menyimpulkan apa yang menjadi petunjuk atau pun pemutus di dalam pilihan raya kecil Sungai Limau yang akan berlangsung tidak sampai 20 jam lagi itu datang dari dua entiti. Melayu lama dan orang Cina. Walaupun anak muda turut sama mencorakkan tetapi peratusnya (perngubahan undi) tidak tinggi. Anak muda kandati suka dengan Mukhriz tetapi isu-isu negara, kesalahan Umno serta kebebasan media massa tidak mengongkongkan mereka untuk memberi sokongan kepada Umno. Sifat anak muda adalah sifat bebas. Anak muda mahukan sesuatu yang baru. Keusangan Umno menjadikan mereka ingin beralih angin dipercayai masih kekal.

Orang Melayu lama, sejauh mana pula mereka termakan dengan dakwah Umno yang cuba memanipulasikan yang Pas telah lari dari perjuangan asalnya; agama dan bangsa serta menjadi alat kepada Cina. Ini yang mungkin tidak berjaya dialihkan oleh Pas. Manakala satu entiti lagi ialah orang Cina, sikap pengundi Cina. Berdasarkan kepada dakwaan dengan melihat kepada sambutan ceramah Anwar Ibrahim di Sungai Limau sambutan masyarakat Cina tidak seberapa ia membimbangkan Pas.

Tetapi dengan mempercayai orang Cina bijak bermain politik bijak menyembunyikan undi mereka, dipercayai mereka akan berpihak kepada Pas. Orang Cina berada dalam orentasi bencikan kepada Umno. Kalau 20% daripada 6% atau kira-kira 1,626 undi dari keseluruhan pengundi di Sungai Limau berhijrah kepada Umno pun, Pas masih menguasai undi Cina dan ini menjadi pemangkin kepada kemenangan Pas kelak.

Akhirnya penentuan kepada keputusan pilihan raya kecil itu nanti sangat bergantung kepada peratus keluar mengundi, apakah ia normal atau pun diluar jangka? Saya ingin menitik catatan ini dengan membuat perbadingan kehangatan di stadium Shah Alam malam ini lebih hangat dan dramatik daripada apa yang berlaku di Sungai Limau. [wm.kl.12:33 t/hari 03/11/13]

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...