Persatuan Kerabat Kedah dibubar  
Syed Idrus (kanan) bersama Noridan, menunjukkan logo kereta 
Persatuan Kerabat Kedah yang dibubarkan pada 26 September 
lalu dan tidak boleh digunakan lagi.

ALOR SETAR - Penggunaan logo kereta Persatuan Kerabat Kedah dibatalkan kepada semua ahli berikutan persatuan itu dibubarkan dan digantikan dengan persatuan baru.

Yang Dipertuanya, Syed Idrus Syed Baharom berkata, pembubaran itu berkuat kuasa pada 26 September lalu, manakala pendaftaran bagi persatuan baru akan berkuat kuasa pada 10 November ini dengan nama Persatuan Kerabat Diraja Kedah (2013).

Justeru, beliau berkata, logo kereta berkenaan tidak boleh digunakan lagi oleh bekas ahli persatuan dan akan digantikan dengan logo baharu.

“Setiap bekas ahli perlu mendaftar semula sebagai ahli dan mendapatkan logo baharu. Sesiapa yang menggunakan logo tersebut adalah salah di sisi undang-undang di bawah akta Pertubuhan 1966 (ROS),” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Menurut Syed Idrus lagi, sebelum ini banyak berlaku penyalahgunaan logo kereta berkenaan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami akan mengadakan kerjasama dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak ROS bagi menangani penyalahgunaan logo persatuan ini,” katanya.

“Terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan logo kereta persatuan untuk kepentingan tertentu, malah ada juga pihak yang menjual logo tersebut.

“Selepas ini kita akan menguatkuasakan perjanjian di antara persatuan dan pencetak-pencetak logo supaya tidak mencetak logo persatuan ini sesuka hati mereka,” tegasnya.

Tambah beliau, pihak persatuan tidak bertanggungjawab jika tindakan undang-undang dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menyalahgunakan logo berkenaan.

Sementara itu, Timbalannya, Datuk Noridan Spee Yee berkata, persatuan tersebut mula didaftarkan pada Julai 1997 dengan nama Persatuan Kerabat Diraja Kedah.

Bagaimanapun katanya, persatuan menggugurkan nama 'Diraja' pada bulan Julai lalu menjadikannya Persatuan Kerabat Kedah.

“Jadi penubuhan yang baru ini dinamakan sebagai Persatuan Kerabat Diraja Kedah (2013).

“Antara matlamat utama persatuan adalah memberi kerjasama dan sokongan kepada ke bawah duli Tuanku Sultan dan ahli-ahli kerabat serta khidmat kerjasama dalam segala aspek sejarah Kesultanan Negeri Kedah,” kata Noridan.