TERKINI :

Sunday, November 24, 2013

Penjelasan berkenaan konsert ROCK di Muktamar PAS ke 59





Hargai kelompok seni bersama PAS
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM: Ahli-ahli PAS diingatkan agar tidak terlalu ghairah menukar identiti sesuatu kelompok yang baru mendekati parti itu, sebaliknya perlu menerapkan kefahaman Islam ke dalam diri mereka.

Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam berkata, tujuan PAS menarik artis, seniman, budayawan, dan karyawan untuk melakukan perubahan.

Justeru, katanya PAS perlu menghargai kesediaan kelompok ini bersama-sama parti dengan meraikan kepelbagaian mereka.


"Kita bawa artis, seniman, budayawan, karyawan bersama kita untuk melakukan perubahan. Mereka sudah bersedia bersama kita, mengapa kita masih banyak berkira-kira?

"Jangan terlalu ghairah untuk 'mengePASkan' mereka, mengenakan uniform atau jubah PAS, dari pemuzik menjadi ustaz, dari menyanyi menjadi penceramah. Aulanya adalah fikrah dan nilai, tasawur perjuangan.

"Biarkan mereka sebagai pemuzik, pelukis, penyanyi, pelakon, penulis dan sang karyawan lain-lain menghasilkan karya yang dapat membangunkan umat, menghidupkan jiwa yang mati, menyuntik semangat juang.

“Kita masih mengharapkan Bob Lokman dapat menghasilkan lirik-lirik berbisanya seperti ‘Isabela’, ‘Taman Rashidah Utama’ dengan nafas perjuangan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar PAS Ke-59 di Stadium Malawati hari ini.

Sementara itu, mengulas tema muktamar iaitu ‘Rahmat Untuk Semua’, beliau berkata ia hanya akan menjadi retorik kosong jika PAS masih terperap dalam tempurung markaz dan kelompok masing-masing.

"Rahmat daripada perjuangan kita bukan sekadar ahli PAS sahaja tapi untuk seluruh alam termasuk bintang di langit, gunung, laut membiru, jalanraya, bangunan, beburung, serangga, ikan di kali, keretapi, kapal korek, kelapa, buah mempelam, penarik beca, petani, penyanyi, pelancong, penoreh getah, pelacur, pengemis, orang Cina, Iban, India, Kadazan, ibu mengandung, wanita bekerjaya, OKU, penganggur, pelukis, pesakit di hospital," katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau juga, daerah pembudayaan adalah sangat luas, bukan sekadar aktiviti kesenian seperti baca puisi, menyanyi, berlakon dan sebagainya sebaliknya termasuk idea, sistem sosial dan karya-karya yang dihasilkan.

"Prof. Dr. Koentjaraningrat, bapa Anthropologist Indonesia mengatakan bahawa konsep kebudayaan wujud dalam tiga keadaan. Pertama wujud kebudayaan sebagai idea, gagasan, nilai atau norma.

"Kedua wujud kebudayaan sebagai aktiviti atau pola tindakan manusia dalam masyarakat yang lebih dikenali sebagai sistem sosial. Ketiga adalah wujud kebudayaan sebagai karya-karya yang bersifat konkrit, fizikal seperti muzik, puisi, ukiran, lukisan dan sebagainya.

"Dalam pemikiran kita, barang kali yang menjadi tumpuan adalah wujud kebudayaan ketiga berbanding dengan kebudayaan yang pertama dan kedua," katanya.

Beliau juga berkata, PAS perlu lebih banyak menghasilkan karya yang mewakili pemikiran mereka daripada terus mengkritik karya orang lan tanpa sebarang tindakan.

"Di mana lagi ulama seperti Pak Hamka dalam PAS yang mampu menulis novel roman cinta seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijc dan Di bawah Lindungan Kaabah? Islam bukan sekadar diungkapkan dengan kalimah al Quran dan Hadis semata-mata tetapi yang lebih penting bagaimana Islam diterjemahkan dalam nilai wahyu," katanya lagi.

Justeru beliau menyeru agar para budayawan tidak hanya diundang pada musim pilihan raya sahaja namun kewujudan mereka perlu disedari sepanjang waktu.

"Kerana itu, besarlah harapan saya untuk tidak melihat para budayawan sekadar pengisi waktu menjelang musim-musim pilihanraya. Mereka adalah pelukis langit zaman, pelakar bumi Tuhan. Para karyawan, seniman, artis dan budayawan bukan askar upahan tetapi adalah pejuang sepanjang zaman," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...