Dua MyKad palsu harga RM300  
Seorang warga asing gagal menyembunyikan diri apabila diperiksa anggota Imigresen Selangor di Taman Subang Mas, Shah Alam, kelmarin. - Foto Jabatan Imigresen Selangor

SHAH ALAM - Seorang warga Indonesia ditahan kerana memiliki dua MyKad palsu dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen Selangor bersama Bahagian Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Taman Subang Mas, di sini, malam kelmarin.

Lelaki dikenali hanya sebagai Badirul, 28 tahun itu berkata, dia membuat MyKad terbabit selepas mengenali seorang lelaki ketika sedang bercuti di Pulau Pinang kira-kira empat bulan lalu.

“Pada mulanya, saya hanya nak buat satu MyKad sahaja, tetapi, lelaki itu tawarkan untuk buat dua keping MyKad dengan harga RM150 bagi setiap satu MyKad,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu meminta dia menyediakan dua keping gambar bersaiz kad pengenalan serta RM300 dan dia menerima MyKad itu dalam jangka masa seminggu.

Katanya, antara tujuan dia membuat MyKad itu untuk memudahkannya memperoleh pekerjaan.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan namanya didedahkan berkata, dia membeli MyKad palsu daripada seorang lelaki yang dikenalinya melalui seorang rakan.

“Lelaki itu datang ke rumah saya kira-kira empat bulan lalu dan dia tawarkan RM300 untuk mendapatkan MyKad tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, pihaknya membuat serbuan ke atas kawasan itu selepas mendapat aduan daripada orang awam dan hasil risikan selama dua minggu.

Amran berkata, dalam operasi itu, seramai 235 warga asing yang ditahan daripada 515 yang diperiksa.

“Mereka yang ditahan ialah 215 warganegara Indonesia, 11 warga Bangladesh, Sri Lanka (lima), Myanmar (tiga) serta seorang warga Nepal yang berumur lingkungan  1 tahun hingga 52 tahun,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Amran berkata, daripada jumlah tersebut, 13 warga Indonesia ditahan kerana memiliki kad pengenalan palsu dan mereka akan diserahkan kepada JPN untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, mereka yang melakukan kesalahan di bawah peraturan imigresen akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut dan mereka akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).