TERKINI :

Sunday, November 24, 2013

Muktamar Pas wajah sebenar politik Melayu baru

NIZAM ZAIN/Sinar Harian,

muktamar pasMUKTAMAR Tahunan Pas ke-59 menyaksikan pemikiran dan minda perwakilan semakin bercambah nasional, tidak terjumud dengan isu-isu ‘asabiyah’ sebaliknya mereka mula memikirkan permasalahan rakyat dalam skop yang lebih luas, dengan kata lain memberi impak nasional menjelang PRU14 akan datang.

Usul ekonomi antara perkara yang menarik minat perwakilan dalam sesi perbahasan termasuklah isu percukaian baru seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Pas Negeri Sembilan mencadangkan Pas Pusat terus menghantar desakan agar Kerajaan Malaysia tidak menandatangani perjanjian TPP.

Perwakilan Negeri Sembilan, Fareedah Abd Samad berkata, demi menjaga masa hadapan rakyat dan kedaulatan negara daripada penjajahan bentuk baru oleh Amerika Syarikat (AS), Pas Negeri Sembilan menggesa Kerajaan Malaysia meninggalkan meja rundingan TPP serta-merta.

"Peranan Pas dalam isu antarabangsa seharusnya menjangkaui isu di luar kerangka negara Islam dan masyarakat Islam.

"Isu ancaman terhadap krisis ekonomi negara dan dunia misalnya merupakan isu penting yang kini masih gagal diberi perhatian oleh Kerajaan Malaysia dan hakikatya Pas mampu berperanan dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu juga sependapat dengan perkara tersebut dengan mengusulkan Pas Pusat menganjurkan himpunan besar-besaran untuk membongkar penyelewengan dan ketirisan sebagaimana yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini.

“Saya mewakili Pas Pusat mengusulkan himpunan besar-besaran ini supaya rasuah dan penyelewengan dana rakyat itu tidak dibocor lagi sebelum GST boleh dilaksanakan,” katanya.

Menyentuh pilihan raya akan datang, perwakilan juga tidak meminggirkan isu sokongan orang Melayu terhadap Pas khususnya pada PRU13 lalu apabila beberapa negeri masih gagal dikembalikan daripada tangan BN, termasuklah Kedah dan Perak.

Kekangan lokasi di luar bandar menjadi tumpuan perwakilan apabila perwakilan Pas Perak bangkit sambil menegaskan strategi dalam menguruskan isu yang berkesan mampu melonjakkan pertambahan pengundi Melayu, khususnya di Perak.

Menurut perwakilan Perak, Dr Ahmad Nuri al-Amin, Pas juga perlu bersifat 'offensive', sambil menggesa parti itu mengatur strategi bagi memenangi hati pengundi Melayu yang merupakan pengundi teras kepada Pas.

"Melihat kembali perkembangan politik di Perak pada PRU13 lalu, peningkatan undi orang Cina terhadap Pas sebanyak 20 peratus. Namun, kita perlu terima hakikat, kita hilang sebanyak lima peratus undi orang Melayu di kerusi yang ditandingi Pas," katanya.

Sementara itu, pemilihan ahli jawatankuasa Pas Pusat semalam memperlihatkan perwakilan masih mahu golongan ulama terus menerajui pucuk pimpinan selepas mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presidennya.

Bagaimanapun keadaan itu berlainan pula bagi jawatan nombor dua dalam parti apabila mengekalkan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas sekali gus membuktikan kerjasama dua golongan antara ulama dan profesional kini menjadi trend dalam pentadbiran parti menjelang PRU14.

Begitu juga dalam pemilihan AJK Pas Pusat juga turut menyaksikan gandingan antara muka lama dan muka baru termasuklah bekas Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih disenangi walaupun berubah platform.

Hampir 60 peratus barisan AJK Pas Pusat kali ini merupakan muka baru terdiri daripada golongan ulama dan profesional sekaligus bakal membawa perubahan baru dalam hala tuju politik Pas pada masa akan datang.

Bagaimanapun jawatan Naib Presiden yang bakal diumumkan hari ini dijangka memberikan gambaran yang sama sekaligus menangkis dakwaan mengatakan perwakilan mahu mengekalkan muka lama di peringkat ketiga pucuk pimpinan dalam parti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...