TERKINI :

Saturday, November 9, 2013

Mahathir perli anak dia dan BN bahawa jual gula RM1 pun tak laku di Sg Limau


Habuan wang gagal raih undi BN di Sungai Limau, kata Dr Mahathir

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK NOVEMBER 08, 2013

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa pemberian wang dan hadiah oleh Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak berjaya memikat hati pengundi di sana.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemberian wang seumpama itu adalah satu pembaziran malah bukti penolakan pengundi terhadap budaya itu ditunjukkan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Mungkin saya salah dan saya mengaku saya kerap salah tetapi saya fikir pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan.

“Ini jelas dari PRU13. Yang tidak sokong, tidak sokong juga. Wang yang diberi adalah pembaziran, sama ada wang kerajaan atau bukan kerajaan.

“Sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangannya serta tingkah laku pemimpin dan calon. Kalau datang dengan Mercedes atau motosikal 1000cc, saguhati dan apa juga yang diberi tidak akan menawan hati,” katanya melalui kiriman blognya hari ini.



Dr Mahathir berkata, jabatan kerajaan yang dibawa bersama untuk turun berkempen dan memberi bantuan di Sungai Limau tidak membawa kejayaan kerana kebanyakan pengundi tidak mudah terpengaruh dengan bantuan sedemikian.

Katanya, BN banyak menghamburkan wang tetapi sokongan yang diterima rakyat masih belum berada pada tahap memuaskan.

“Kempen sekarang ini berbeza daripada dahulu kerana banyak wang diguna seperti penganjuran karnival di mana ada acara hiburan, jamuan dan hadiah percuma seperti kemeja-T BN.

“Ada jabatan kerajaan yang mengadakan pameran untuk mempromosi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, saya fikir. Mereka yang datang melihat pameran diberi 10 anak ayam, dedak dan beras. Makanan disediakan untuk pelawat.

“Saya tidak tahu sama ada pameran ini adalah sebahagian daripada kempen BN. Jika ia, amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – sama ada berbentuk duit atau anak ayam,” katanya.

Perdana Menteri yang paling lama memerintah negara itu turut mempersoalkan keengganan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bersara daripada arena politik meskipun telah berkecimpung dalam arena politik sejak 1964.

Dr Mahathir membuat perbandingan karier politiknya dengan Lim kerana beliau bersara pada 2003 tetapi Lim pada masa ini masih menjadi Ahli Parlimen Gelang Patah.

"Bila Kit Siang akan bersara? Sampai matikah? Jika sudah bersara hendak jadi pemimpin kanan DAP kah?

"Pada 1964 saya jadi wakil rakyat. Kit Siang menjadi Setiausaha Politik kepada Devan Nair. Kemudian setelah PAP tidak aktif lagi di Malaysia, Kit Siang menubuhkan DAP dan menjadi ketuanya. Saya bersara 2003. Kit Siang belum bersara, masih ketua DAP dan menjadi wakil rakyat Gelang Patah,” katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau menyaksikan calon PAS Mohd Azam Abd Samat memperoleh sebanyak 12,069 undi manakala calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim pula memperoleh undi sebanyak 10,985 sekaligus menyaksikan PAS menang dengan majoriti sebanyak 1,084.

Seramai 23,249 pengundi atau 85.5% daripada keseluruhan pengundi keluar menjalankan tanggungjawab membuang undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan penyandangnya allahyarham, Tan Sri Azizan Razak yang kembali ke rahmatullah pada 26 September lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan kejayaan BN mengurangkan majoriti undi PAS lebih daripada separuh dalam pilihan raya itu adalah satu kemenangan.

Beliau berkata, BN menerima keputusan pilihan raya itu, namun berjanji tidak akan menghentikan usaha mendekati sekolah pondok seperti yang terkandung dalam Aku Janji BN pada PRU13 demi meningkatkan syiar Islam.

Walaupun PAS berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Limau, majoriti undi yang diperoleh Mohd Azam merosot sebanyak 61 peratus berbanding majoriti diperoleh Azizan.

Mohd Azam memperoleh majoriti undi 1,084 berbanding 2,774 undi yang dimenangi Azizan.

Sementara itu, BN walaupun kalah dalam pilihan raya itu memperoleh anjakan undi sebanyak 4.4% berbanding dalam PRU13 Mei lalu. – 8 November, 2013.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...