Tolong kami sekeluarga  
Aishah terpaksa menjaga Mohd Hazim yang menghadapi penyakit kepala besar.
KUALA NERANG -Sepasang suami isteri dari Kampung Seberang, dekat sini, merayu kepada pihak yang berkenaan untuk mendapatkan bantuan rumah bagi memudahkan kehidupan mereka.

Aishah Hasan, 28, dan suaminya, Mohd Solihin Seman, 29, terpaksa tinggal di rumah usang peninggalan keluarganya yang sering dimasuki air ketika hujan lebat dan kayunya pula semakin reput.

Menurut Aishah, mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah itu, kerana mereka hanyalah  bekerja sebagai penoreh getah sahaja.

“Setiap kali saya dan suami pergi menoreh, kami terpaksa meninggal anak sulung, Mohd Hazim yang menghadapi masalah sakit sawan dan masalah kepala besar.

"Selain dari itu, penglihatan anak juga tidak jelas dan tidak boleh bercakap. Ini membimbangkan kami ketika meninggalkannya seorang diri,” katanya yang menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Katanya lagi, semasa suaminya keluar menoreh dia terpaksa memapah anaknya itu seberat 24 kilogram (kg) untuk dibawa mandi ke tandas setiap hari.

“Saya memohon jika ada bantuan untuk membaiki rumah ini supaya dapat memudahkan mengangkat anak saya ini ke tandas.

Pernah ada pihak mahu membantu dengan memberi kerusi roda, tetapi ia tidak dapat digunakan kerana untuk ke bilik air terpaksa melalui tangga,” katanya.

Aishah berkata, masalah itu pernah diadukan kepada Pejabat Zakat Kedah dan wakil rakyat pada 2012 lalu tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang jawapan yang diberi.

Oleh kerana bimbang dengan keselamatannya, kadang kalanya dia terpaksa berteduh di rumah ibunya di kampung berhampiran terutamanya pada musim hujan dan ribut.