Lim Guan Eng 
Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR - PR tawar kerjasama dengan kerajaan untuk membentuk sebuah majlis bagi membantu menyelesai masalah ketirisan dalam jabatan kerajaan yang didakwa berlaku sejak sekian lama.
  
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, majlis itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Menurutnya, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) tidak  efektif menyelesaikan masalah itu.

“Penubuhannya supaya tindakan dapat diambil terhadap pegawai yang  menyeleweng.

"Ia juga dapat pastikan reformasi  lebih sistematik dalam jabatan kerajaan," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Ketika ditanya adakah  PAC selama ini tidak memberikan sebarang hasil, beliau berkata, PAC hanya mampu mengeluarkan laporan tanpa boleh ambil tindakan tegas.

“Mereka (PAC) hanya sediakan laporan, dan melepas batok di tangga, tetapi selepas seminggu orang akan lupa,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan tidak mengambil iktibar di atas cadangan yang telah dibuat oleh Jabatan Audit Negara.

“Kita lihat saban tahun ada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir kerajaan,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut menyifatkan, tawaran yang dibuat PR untuk bekerjasama dengan kerajaan adalah bagi mengatasi masalah yang berlaku.

“Saya lihat trend sekarang, laporan audit ini sering kali diberikan pada saat-saat akhir Parlimen. Untuk mengelak ahli parlimen memberi kritikan atau menegur salah guna kuasa yang berlaku.

“Seperti sedia maklum, ahli parlimen PR akan teliti setiap laporan itu.

"Kami akan bahas dalam perbahasan akan datang,” katanya.

Selain daripada pembentukan majlis berkenaan, PR juga mencadangkan pemberian tender terbuka secara kompetitif dilakukan bagi mengurangkan penyalahgunaan kuasa.

Difahamkan PR akan menyerahkan surat rasmi berhubung cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat.