TERKINI :

Wednesday, October 23, 2013

Politik harmoni warnai proses penamaan calon siang tadi


Photo
Photo: Walaupun sarapan bersama ( bertembung) lawan tetap lawan prinsip berbeza

YAN - Suasana harmoni jelas tergambar pada proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau hari ini khususnya dengan kehadiran pemimpin tertinggi daripada parti politik yang bertanding.

Kesemua mereka hadir bagi mengiringi dan memberi sokongan kepada calon masing-masing disertai ribuan penyokong yang mula berkumpul di sekitar Dewan Dato' Madi di sini, seawal 6 pagi.

Mereka termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Naib-naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Pemimpin Pakatan Rakyat pula terdiri daripada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang disertai naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Tidak hanya melemparkan senyuman sesama sendiri, para pemimpin parti politik berkenaan turut meluangkan masa bertemu satu sama lain bagi bertanya khabar dan berkongsi pandangan tentang pilihan raya kecil yang akan diadakan 4 November ini.

Lebih banyak pemimpin Pas dan BN kemudiannya memenuhi perkarangan pusat penamaan calon ekoran Dun Sungai Limau merupakan kubu kuat Pas yang disandang bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sejak pilihan raya umum 1995.

BN yang berjaya menguasai semula negeri Jelapang Padi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lepas, mahukan kawasan yang kaya dengan tanaman padi itu diberi lebih banyak suntikan pembangunan.

Kehadiran banyak penyokong di kawasan penamaan calon itu berikutan pemberian pas terbuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, masing-masing 100 keping bagi BN dan Pakatan Rakyat.

Sebaik selesai proses penamaan calon, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abd Rashid Othman mengumumkan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas Mohd Azam Abd Samat. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...